DARI pengisytiharan hari mengundi pada pertengahan minggu, sehingga kelewatan penghantaran surat undi pos, rakyat Malaysia berganding bahu melawan kembali apa yang dilihat oleh banyak pihak sebagai usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghalang pengundi daripada mengundi esok.
Beberapa jam selepas Pengerusi SPR, Mohd Hashim Abdullah mengumumkan hari pengundian jatuh pada 9 Mei (Rabu), rakyat Malaysia mula menawarkan bantuan kewangan dan logistik kepada rakan senegara untuk membantu satu sama lain pulang mengundi.
Pergerakan #undirabu menyaksikan rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat berhubung melalui laman sesawang seperti PulangMengundi.com dan balik.undirabu.com serta media sosial bagi tempat berkumpul untuk berkongsi kereta, dan menawarkan bantuan kewangan kepada mereka yang memerlukan perbelanjaan perjalanan balik.
Lebih RM180,000 berjaya dikumpul setakat ini untuk projek Undirabu.com, yang menyediakan perkhidmatan memadankan mereka yang ingin berkongsi kenderaan, bas sewa serta subsidi tiket penerbangan bagi perjalanan antara Malaysia Timur dan Barat.
Beberapa kumpulan di bawah inisiatif undirabu juga berjaya mengumpul dana yang mencukupi untuk menyewa 16 bas yang akan bertolak dari Kuala Lumpur, Johor Baru dan Puchong di Selangor untuk membawa pengundi luar negeri ke pelbagai negeri.
Rakyat Malaysia di luar negara juga baru-baru ini membangkitkan kebimbangan mengenai yang sehingga semalam, masih ramai yang belum menerima kertas undi mereka, sehingga hampir mustahil untuk undi mereka sampai ke tanah air tepat pada tarikh ditetapkan SPR iaitu jam 5 petang Rabu.
Tetapi bukannya mengalah, pengundi pos menemui cara alternatif menghantar kertas undi mereka tepat pada waktunya, iaitu melalui wakil sukarelawan yang kembali ke tanah air dan menyerahkan kertas undi ke kawasan masing-masing.
Pam, penyelaras Auckland bagi kumpulan pembaharuan pilihan raya Bersih 2.0, berkata ramai menjangkakan memastikan undi mereka sampai pada waktunya akan menjadi suatu yang mencabar, tetapi kebanyakannya terkejut apabila tiga hari sebelum hari pengundian, masih ramai yang tidak menerima kertas undi.
“Kami tidak menjangka logistik penyerahan undi pos, dan menghantarnya kembali, akan menjadi selambat ini.
Beliau berkata apabila menyedari mereka tidak dapat mengembalikan undi pada waktu yang ditetapkan walaupun dengan perkhidmatan kurier, rakyat Malaysia mula berkumpul untuk mengatur membeli tiket penerbangan untuk sukarelawan pulang ke tanah air.
Beliau menambah Global Bersih sebelum ini dan secara konsisten berkempen untuk tempoh lebih lama selama 28 hari untuk membolehkan undi pos diterima dan dikembalikan dalam masa yang ditetapkan.
“Mana-mana orang yang waras dapat melihat sistem ini direka untuk gagal. Mustahil mendapat kertas undi dan dikembalikan dalam tempoh yang singkat.
SPR sebelum ini berkata ia menerima 7,979 permohonan undi pos di luar negara dan 3,653 permohonan untuk “pengundi luar negara tidak hadir” yang terdiri daripada kakitangan awam dan pelajar sepenuh masa, serta pasangan mereka.
James, seorang warga Malaysia yang tinggal di Perth selama 13 tahun, hadir di sebuah restoran Malaysia di bandar itu untuk menyerahkan kertas undiannya kepada sekumpulan sukarelawan yang akan pulang mengundi hari ini.
Beliau berkata terpaksa meminta pertolongan rakan dan keluarganya pulang untuk bertemu sukarelawan di Kuala Lumpur bagi mengutip kertas undi sebelum pulang ke Ipoh untuk menyerahkannya kepada Pegawai Penerimaan kawasannya.
James hanya menerima kertas undi pada Isnin, dan tidak akan dapat menghantar undinya semula tepat waktu jika terpaksa menggunakan perkhidmatan kurier.
“Saya pernah berfikir untuk berputus asa membawa pulang undi saya, kerana mimpi buruk ini,” katanya.
“Tetapi pemikiran membiarkan SPR menafikan hak saya, hanya membuat saya lebih bertekad untuk mencabar mereka.” – 8 Mei, 2018.
Komen