Pakatan dijangka menang lebih banyak kerusi di Johor jika pengundi beralih


The Malaysian Insight

MOHD Ismail Sulaiman tidak pernah mengundi mana-mana parti lain selain Barisan Nasional (BN). Ia tidak pernah terlintas di fikirannya. Lebih-lebih lagi, di Johor yang menyaksikan BN sebagai parti utama.

Walaupun rakannya mengundi untuk PAS selepas Anwar Ibrahim dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, Ismail memilih Siam Kasrin di Batu Pahat semasa pilihan raya 1999.

Tetapi kini, pegawai kerajaan itu mengakui berfikir dua kali sekarang, selepas tiba di ceramah Pakatan Harapan (PH) yang kedua malam itu.

“Saya bimbang anak-anak saya yang perlu meminjam wang daripada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk melanjutkan pengajian mereka,” kata yang berusia 49 tahun itu semasa ditemui di ceramah Batu Pahat dua malam lalu.

“Ke mana semua wang biasiswa hilang?” soal pemegang biasiswa Mara itu.

Ismail mewakili seorang daripada ramai penduduk Johor yang bimbang dengan apa yang mereka lihat hari ini.

Selama ini mereka tidak pernah memikirkan untuk bertukar parti, masalah seperti rasuah dan kos hidup mendorong mereka mengkaji semula pilihan mereka.

Perlumbaan sengit

Persaingan di Johor dijangka sengit kerana PH mungkin menang sehingga 16-17 kerusi jika sokongan pengundi Melayu meningkat, kata Dr Francis Hutchinson daripada ISEAS Ishak Yusof Institute.

Dalam pembentangannya “Johore – A Southern Surprise” minggu lalu, Hutchinson menyatakan PH boleh memenangi kerusi tambahan sebanyak 10-11 kerusi jika ada mempunyai 29% sokongan Melayu - meningkat daripada tahap sokongan 19% sekarang.

PH berharap kepada sokongan kepada Pakatan Rakyat yang kini tidak berfungsi di Johor dengan 20% Melayu, 77% Cina dan 55% India.

Menurut analisis Hutchinson, PH mendapat 29% sokongan Melayu dan mengekalkan sokongan Cina yang tinggi, BN hanya akan mengekalkan Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Parit Sulong dan Mersing manakala empat lagi (Pagoh, Simpang Rengam, Sembrong dan Pontian) terlalu sukar untuk dibuat keputusan akan dimenangi oleh pihak mana.

Kerusi Pakatan tambahan mungkin datang dari Sekijang, Labis, Ayer Hitam, Segamat, Ledang, Sri Gading, Tanjong Piai, Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Pulai dan Muar.

Pakatan kini menawan Bakri, Pagoh, Kluang, Iskandar Puteri (dahulunya Gelang Patah), Batu Pahat dan Kulai.

Dalam senario ini, PAS dianggap mempunyai 19.7% sokongan Melayu dan sedikit daripada golongan bukan Melayu, dan hanya memainkan peranan sebagai pengacau serta tidak dijangka akan memenangi mana-mana kerusi persekutuan.

Projeksi itu berdasarkan kepada tinjauan Merdeka Center bagi Pandangan Awam yang diadakan antara 9-16 April, yang mengatakan sokongan Melayu untuk BN turun daripada 80% (PRU13) kepada 60.9% pada April 2018. Merdeka Centre meletakkan sokongan Cina kepada BN pada 22.4% manakala tahap sokongan India adalah 64%.

Projeksi Hutchinson berdasarkan kajian Merdeka Center dan kajian sendiri mengenai lima kerusi –  Pagoh, Pengerang, Pasir Gudang, Ayer Hitam dan Pulai. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen