Undian UNSC mengenai Gaza ditangguhkan untuk kali ke-2


Serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih 19,450 rakyat Palestin. – Gambar AFP, 20 Disember, 2023.

UNDIAN mengenai draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menggesa agar serangan di Gaza dihentikan untuk membenarkan akses bantuan kemanusiaan, ditangguhkan semalam untuk kali kedua berturut-turut.

Menurut maklumat yang diperolehi Agensi Anadolu (AA), Amerika Syarikat (AS) masih belum yakin dengan draf resolusi itu yang sepatutnya diundi pada lewat petang.

Anggota Majlis Keselamatan akan mengundi draf resolusi itu pada Rabu.

Teks itu yang dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggesa penangguhan segera pertempuran untuk membolehkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan serta langkah segera ke arah menghentikan permusuhan secara berkekalan.

Menegaskan semula bahawa semua pihak yang terlibat dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, ia juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB dilaksanakan dengan segera.

Terdahulu pada Selasa, Timbalan Duta AS ke PBB Robert Wood memaklumkan kepada media bahawa pihaknya masih berusaha menyiapkan teks resolusi itu dengan pemain lain.

AS memveto resolusi Majlis Keselamatan pada 8 Disember yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Semenanjung Gaza ketika jumlah kematian terus meningkat.

Serangan udara dan darat Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu membunuh lebih 19,450 rakyat Palestin.

Konflik itu menyebabkan Gaza musnah dengan separuh daripada perumahan di wilayah terkepung itu rosak atau ranap manakala hampir dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal. – Bernama, 20 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen