Individu tidak dikenali cuba bakar konsulat Greece di New York


Individu tidak dikenali cuba membakar pintu masuk Konsulat Jeneral Greece di New York menggunakan beberapa bahan mudah terbakar. – Gambar Facebook, 19 Disember, 2023.

INDIVIDU tidak dikenali cuba membakar pintu masuk Konsulat Jeneral Greece di New York, lapor Sputnik memetik Konsul Jeneral Greece di New York, Dinos Konstantinou, pada Selasa.

“Individu tidak dikenali cuba membakar pintu masuk Konsulat Jeneral Greece di New York menggunakan beberapa bahan mudah terbakar yang dituangkan ke atas tanaman di situ. Bomba berjaya bertindak pantas untuk mengelak api merebak ke kawasan utama,” kata Konstantinou kepada penyiar Greece ERT.

Beliau berkata perbuatan itu bukanlah kali pertama berlaku di konsulat berkenaan.

“Kami tidak mengetahui puncanya. Identiti penjenayah mungkin dapat dikenal pasti daripada video kamera pengawasan di situ,” kata Konstantinou.

Kediaman konsul jeneral dan wakil tetap Greece ke PBB terletak di bangunan yang sama, lapor penyiar itu.

FBI dijangka turut serta dalam siasatan, katanya. – Bernama, 19 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen