DR Mahathir Mohamad hari ini mempertikaikan keikhlasan Barisan Nasional (BN) dalam membantu rakyat Langkawi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata BN hanya datang ke Langkawi, sekali setiap lima tahun kerana pilihan raya untuk menabur gula-gula dengan meminta balasan sokongan rakyat mengundi pada 9 Mei.
“BN baru-baru ini datang sini buat perkara yang sepatutnya mereka buat dalam tempoh lima tahun lalu.
“Kenapa tunggu lama sangat? Mereka tidak ikhlas kerana mereka mahu sokongan rakyat tetapi tidak tahu yang rakyat di sini sudah komited kepada PH,” katanya pada program ceramah di perkampungan nelayan di Bukit Malut.
Lebih 2,000 orang datang untuk mendengar ceramah bekas perdana menteri itu dan melaungkan “hidup Tun”.
Dr Mahathir berkata kalau tidak ada pilihan raya, BN tidak akan datang beri gula-gula.
“Sebab ada pilihan raya semua parti datang ke sini.
“Kita ada pilihan raya untuk pilih kerajaan yang akan jaga rakyat, supaya anak mereka akan mempunyai masa depan lebih baik.
“Tetapi ketika pilihan rasa seperti ini parti menjanjikan pelbagai perkara tetapi selepas pilihan raya mereka buat benda lain.”
Dr Mahathir berkata Langkawi bukan lagi deposit tetap BN kerana mereka berpeluang untuk melepaskan pulau pelancongan itu daripada kerajaan negeri sementara.
“Saya selalu percaya kami ada peluang dan sepatutnya menang pilihan raya ini tetapi kami risau Najib Razak mungkin melakukan sesuatu untuk mengecewakan kami,” katanya. – 7 Mei, 2018.
Komen