Gelombang besar Pakatan bergerak dari kota ke desa, kata penganalisis


The Malaysian Insight

GELOMBANG besar Pakatan Harapan (PH) kini sedang bergerak dari bandar apabila pengundi di luar kawasan mula pulang ke kampung namun penganalisis tidak pasti apakah gelombang ini akan sampai ke pendalaman atau tidak.

Pengkaji dari Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata gelombang yang cukup ketara di bandar-bandar ini dijangka akan mula merebak ke kawasan luar bandar apabila pengundi dari bandar bertemu dengan ahli keluarga dan rakan mereka di kampung.

“Saya yakin jika gelombang ini sampai ke desa-desa, PH akan menang Putrajaya,” katanya.

Hisommudin dan pasukannya di Ilham Centre malam tadi selesai membuat kajian tentang sentimen pengundi Melayu di seluruh negara.

Dalam taklimat awalnya, Hisommudin mendapati PH berdepan sedikit masalah di beberapa kawasan kerana jenteranya yang tidak diselaraskan dengan baik.

“Namun jika mari gelombang ini, orang tidak akan fikir soal itu dan (Barisan Nasional) akan ditenggelami gelombang ini,” kata Hisommudin.

Sebahagian pengundi luar sudah pulang ke kampung petang Jumaat lepas dengan mengambil cuti hati ini dan esok sebelum hari pengundian pada Rabu ini.

Pemimpin kanan PH dalam rapat umum Malam Semarak Tsunami Rakyat di Hulu Klang, Selangor malam tadi mengumumkan “khabar baik” kepada penyokong tentang gelombang sokongan rakyat menolak Umno dan BN.

“Kubu kuat Barisan Nasional dan Umno di Johor sudah pun tumbang,” kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sebelum menambah sebahagian besar orang Melayu di Johor, sama juga di seluruh Malaysia, sudah berubah sikap sekarang menyokong PH.

Timbalan Presiden Bersatu Muhkriz Mahathir pada rapat umum yang sama turut menyampaikan “berita gembira” dari Kedah iaitu “kerajaan PH akan tertubuh selepas PRU14 nanti”.

“Rakyat sangat-sangat bersedia untuk menerima kehadiran kita dan membawa perubahan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, PH masih memerlukan sedikit lagi suntikan semangat daripada penyokongnya di luar Kedah untuk balik mengundi pada Rabu ini.

Kajian Ilham Centre juga mendapati, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad akan menang di Langkawi walaupun dalam pilihan raya lalu calon BN menang dengan 11,861 undi.

“Ia umpama terbalik meja,” kata Hisommudin yang membayangkan Dr Mahathir, arkitek Langkawi itu akan menang besar.

Sementara itu, pemimpin utama PAS masih yakin parti itu akan menang besar kali ini namun pakar pilihan raya dalam parti itu sendiri menolaknya dengan berkata pengaruh parti itu kekal di Kelantan, Terengganu dan Kedah pada PRU14.

“PH boleh menang pilihan raya ini jika sumbangan yang wajar diterima dari Sabah dan Sarawak manakala PAS akan berada di tempat ketiga,” kata sumber dalaman PAS. – 8 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen