Bersih tidak akan dipengaruhi kerajaan, kata pengerusi baharu


Alfian Z.M. Tahir

Muhammad Faisal Abdul Aziz, pengerusi Bersih yang baharu selepas Thomas Fann meletak jawatan walaupun menang pilihan raya gerakan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2023.

BADAN pemantau pilihan raya, Bersih akan terus lantang dan bercakap bagi pihak rakyat dalam perkara berkaitan reformasi, kata pengerusinya yang baru dilantik Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Faisal yang dilantik minggu lalu selepas peletakan jawatan tiba-tiba Thomas Fann, menekankan organisasi itu tidak akan dikawal atau dipengaruhi mana-mana parti atau kerajaan.

Katanya, beliau mahu mengubah persepsi rakyat yang Bersih adalah satu gerakan bandar.

“Kami tidak mahu dikenali sebagai gerakan elit. Kami mahu akar umbi menjadi sebahagian daripada perjuangan kami.

“Rancangan saya adalah bertemu penduduk luar bandar, memahamkan mereka apa yang kita perjuangkan. Dari pedalaman Sarawak dan Sabah ke Kedah, Kelantan dan Terengganu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ditubuhkan pada Julai 2005, objektif Bersih adalah mendesak reformasi proses pilihan raya di Malaysia.

Dua tahun kemudian pada 2007, Bersih menganjurkan himpunan awam pertamanya yang memulakan perubahan pilihan raya negara.

“Pertama sekali Bersih akan terus membawa suara rakyat, kita akan mengisi kekosongan itu dan kami akan meluahkan fikiran atau bantahan terhadap kerajaan dengan niat untuk pentadbiran lebih baik.

“Kami juga akan kritikal terhadap isu seperti rasuah, salah guna kuasa dan sudah tentu pilihan raya. Kami akan mengumpul rakyat dari semua latar belakang untuk memastikan suara mereka didengar,” katanya yang juga bekas presiden Abim.

Faisal dipilih sebagai pengerusi selepas menewaskan pesaingnya, Gopalan K Papachan dengan lebihan satu undi.

Faisal mendapat 23 undi sementara Gopalan, yang juga bekas setiausaha agung Parti Pekerja Malaysia, sebelum dijenamakan semula menjadi Parti Amanah Negara, menerima 22 undi.

Pemilihan itu diadakan selepas Fann meletak jawatan sebagai pengerusi walaupun beliau menang pilihan raya, mendakwa beliau tidak mendapat sokongan penuh daripada jawatankuasa pemandu.

Dalam surat peletakan jawatannya, Fann berkata beliau mahu mengangkat Bersih menjadi institusi rakyat, sementara timbalannya, Wong Yan Ke mahu mengembalikan Bersih sebagai gerakan rakyat. – 19 Disember, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen