Najib dan Hishammuddin tak ikut perangai bapa mereka, kata Rafidah


The Malaysian Insight

KALAU Najib Razak dan Hishammuddin Hussein mewarisi kepimpinan dan keperibadian ayah mereka yang jadi perdana menteri kedua dan ketiga Malaysia, kata Rafidah Aziz, beliau tidak perlu susah payah berkempen dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan Barisan Nasional.

“Kalau nak ungkit asal usul, Najib ini anak Tun Razak, Hishamuddin anak Hussein Onn, jadi apa yang diungkitnya. Zaman sekarang anak tak serupa macam bapa,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh kira-kira 100 orang pada program kempen di Pendang, Kedah hari ini.

Rafidah mula bergiat dalam politik ketika bapa Najib iaitu Tun Razak Hussein menjadi perdana menteri. Rafidah yang berumur 22 tahun pada masa itu dilantik sebagai senator pada 1974 sebelum letak jawatan untuk bertanding PRU 1978.

Semasa ayah Hishammuddin, Tun Hussein Onn menjadi perdana menteri pula, Rafidah dilantik sebagai timbalan menteri kewangan.

“Hishammuddin lagilah jauh panggang dari api, kalau mereka ini macam bapa mereka, alhamdulillah tidak lah saya berdiri sendiri.

“Tidak adalah Dr Mahathir yang umur 93 tahun keluar berceramah, saya turun Pendang. Malangnya tak ikut bapa. Kita bukan nak sekat anak cucu sesiapa pun, kalau dia layak, maknanya layaklah,” katanya.

Terdahulu seorang peserta meminta Rafidah menjelaskan adakah pemimpin veteran lama sepertinya, Daim Zainuddin dan Dr Rais Yatim sokong untuk menjatuhkan kerajaan demi membantu tiga keluarga dalam PH iaitu Dr Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng berkuasa.

Rafidah yang juga bekas menteri Umno ke Pendang hari ini bagi membantu calon PH bagi kawasan itu, Wan Saiful Wan Jan dan dua lagi calon kerusi DUN.

Beliau turut menjelaskan mengapa baru sekarang tampil untuk menyokong PH.

Katanya, beliau menunggu masa yang tepat iaitu ketika Pakatan Harapan terbentuk dan ketika pilihan raya.

“Soal pecat saya, saya ini tak setuju dah lama, undur diri dah lama tapi mereka lena tak perasan.

“Sekarang ini saya bercakap sebab kita kenalah tunggu Parlimen bubar dulu. Saya orang lama saya tahu masa kena tepat, kalau saya cakap masa bukan pilihan raya siapa yang nak dengar.” – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen