Beri Dr Zaliha masa kaji cadangan pilihan raya tempatan, kata Fahmi


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan Dr Zaliha Mustafa memerlukan masa kerana baru dilantik ke jawatan itu dalam rombakan kabinet minggu lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2023.

MENTERI Wilayah Persekutuan baharu Dr Zaliha Mustafa perlu diberi lebih masa untuk mengkaji cadangan DAP supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan di ibu negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi menjelaskan Dr Zaliha memerlukan masa kerana baru dilantik ke jawatan itu dalam rombakan kabinet minggu lalu. Beliau sebelum ini adalah menteri kesihatan.

“Ini adalah keputusan dasar utama yang tidak boleh dipandang ringan dan saya percaya kita mempunyai proses dalaman. Jadi, kita perlu menilai dan melihat keseluruhan perkara itu bersama-sama,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan satu majlis.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata pesuruhjaya bangunan telah memaklumkan kepadanya, pada 2018, 95% daripada kira-kira 6,000 hartanah strata di seluruh KL tidak menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka.

“Kira-kira 95% hingga 97% gagal menyerahkan akaun kewangan mereka yang telah diaudit untuk 2018. Ini adalah isu yang sangat serius yang kami hadapi. Ini bukan sahaja berkaitan dengan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi pilihan raya hiper tempatan,” katanya yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai.

Semalam, Pengerusi DAP Kuala Lumpur Tan Kok Wai menggesa Putrajaya memulakan pilihan raya kerajaan tempatan di ibu negara terlebih dahulu bagi memperkukuh demokrasi.

Ahli Parlimen Cheras itu berkata memperkenalkan semula pilihan raya tempatan di bandar ini akan memberikan kemampanan dan memberi hak kepada penduduk untuk memilih wakil majlis bandaran mereka.

Pilihan raya tempatan di Malaysia telah digantung pada tahun 1960-an dan kemudiannya digantikan dengan sistem ketua yang dilantik, dengan datuk bandar majlis bandaran serta presiden majlis perbandaran dan daerah dilantik oleh kerajaan negeri.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menolak cadangan Tan dengan mengatakan bahawa cadangan itu tidak sensitif dan provokatif.

Beliau berkata dengan Bumiputera hanya membentuk 45.9% penduduk di Kuala Lumpur, pilihan raya tempatan akan membawa kepada “ketidakseimbangan” dengan lebih ramai perwakilan bukan Bumiputera di peringkat kerajaan tempatan. – 18 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen