Hadi yakin PAS menang 4 negeri termasuk kekal di Kelantan


The Malaysian Insight

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang yakin partinya akan menang di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) termasuk mengekalkan pentadbirannya di Kelantan.

Tiga negeri tambahan selain Kelantan, yang dikuasai oleh PAS sejak 1990 ialah Terengganu, Kedah dan Selangor.

“Insya-Allah, kita akan kekalkan Kelantan. Kita akan boleh ambil kembali Terengganu dan Kedah serta menguasai Selangor,” katanya ketika berceramah di Bukit Bading, Hulu Terengganu malam ini.

Laporan kajian pilihan raya terkini oleh Invoke Malaysia, badan kajian data raya yang dekat dengan PKR, menunjukkan PAS tidak menang satu pun kerusi baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, termasuk tersingkir di Kelantan.

Laporan dibentangkan oleh pengasasnya, Rafizi Ramli yang juga naib presiden PKR, turut menunjukkan Hadi tumbang di Marang, sama seperti PRU 2004 dulu iaitu sepenggal selepas presiden PAS itu mengetuai kerajaan negeri Terengganu.

Ini laporan kedua Invoke Malaysia yang menyatakan PAS akan putih mata dalam PRU14 yang akan berlangsung Rabu ini.

Hadi dalam reaksinya terhadap laporan pertama pada awal Mac lalu berkata kajian Invoke Malaysia dibuat tidak melibatkan akar umbi sebaliknya hanya “laporan duduk di meja”.

Sementara itu, Hadi mengulangi pendirian PAS menyasarkan menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen daripada 158 yang ditandinginya untuk membentuk kerajaan sendiri.

“(Tetapi) Kalau kita menang 40 kerusi, kita akan menjadi king maker,” kata Hadi dalam ceramah itu.

Katanya, sebagai king maker, PAS akan berbincang dengan mana-mana parti yang mahu membentuk kerajaan bersamanya samada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

“Kita akan berunding dengan mereka dan meletakkan syarat-syarat kita.

“Kalau mereka tidak mahu, kita akan menjadi pembangkang yang kuat dan memerintah negeri-negeri yang kita menang,” kata Hadi. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen