Saya bukan orang Dr Mahathir, kata Rafidah


The Malaysian Insight

BEKAS menteri Umno, Rafidah Aziz berkata beliau bukan pengikut setia Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad, susulan tindakannya menyokong pembangkang berkempen sehinggakan dipecat oleh Umno, baru-baru ini.

Sebaliknya, Rafidah yang juga bekas ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Wanita parti Melayu itu berkata, beliau menyokong Dr Mahathir kerana kepimpinan dan kejayaannya menguruskan negara.

“Ini biar saya nak betulkan. Saya bukan orang yang setia pada manusia tapi saya setia pada negara.

“Kita setia pada manusia buat apa. Saya dulu dengan Dr Mahathir selalu bergaduh. Yang anda tengok saya menangis kat depan, tapi saya selalu geram, orang tak perasan,” katanya pada program Pendang menyambut tokoh istimewa yang dianjurkan calon Parlimen Pendang PH Wan Saiful Wan Jan hari ini.

Rafidah berkata demikian ketika seorang peserta yang hadir memuji kesetiaan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu terhadap Dr Mahathir.

Di hadapan lebih 100 orang yang hadir, peserta itu mengimbau kembali peristiwa saat Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya ketika Perhimpunan Agung Umno pada 2002.

Rafidah antara pemimpin pertama yang menerpa ke arah bekas perdana menteri itu.

Katanya, beliau pemimpin yang paling lantang dan membantah jika merasakan sesuatu pelaksanaan atau polisi dibuat tidak betul.

“Pernah saya kata depan Dr Mahathir, masa itu ada lapan orang lagi, beliau berkata pada waktu itu timbalan kena taat pada presiden.

“Tapi saya cakap Tun saya tak setuju, saya sokong Tun seorang pemimpin yang saya yakini dan percaya sebab jalan Tun mengurus negara betul, sebab itu saya sokong Tun. Bukan sebab Tun adalah Mahathir, saya berani cakap begitu sebab benar,” katanya disambut dengan sorakan dan tepukan orang ramai.

Sehubungan itu, katanya beliau kesal melihat pemimpin BN ketika ini yang takut untuk menyatakan pendirian.

“Saya tengok sekarang pemimpin setia tak bertempat, satu kenyataan yang baca kononnya kata anugerah dari Allah.

“Habis itu kita semua bukan anugerah dari Tuhan ke, takkan dari pokok, tuan dan puan kita ini semua anugerah dari Allah jadi janganlah (kata begitu),” katanya.

Rafidah ke Pendang bagi menyokong calon PH ketika tempoh berkempen tinggal sehari lagi sebelum hari mengundi PRU14 pada Rabu ini. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen