Undilah parti yang mampu urus Malaysia lebih baik, kata Nik Omar Nik Aziz


The Malaysian Insight

PENGUNDI harus memilih parti yang boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik dan pilihan itu adalah Pakatan Harapan, kata Nik Mohamad Omar, anak kepada bekas Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz.

Katanya, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama yang akan mengundi pada 9 Mei ini tidak ada pilihan lain selain daripada PH kalau mahu negara ini kembali dimartabatkan.

“Dalam kehidupan ini kita diberi peluang untuk memilih siapa di kalangan kita yang mampu mengurus negara ke arah yang lebih baik.

“Tidak ada pilihan lain buat masa sekarang kecuali semuanya mesti bersatu hati membulatkan tekad memilih Pakatan Harapan,” katanya dalam perutusan khas buat umat Islam selepas solat Maghrib tadi.

Calon PH bagi kerusi negeri Chempaka di Kelantan itu berkata Malaysia harus dikembalikan ke landasan yang betul dan perlu ditadbir pemimpin yang amanah dan berprinsip.

“Kita melihat negara kita semakin hari semakin rendah tahap akhlak dari sudut pengurusan negara. Keadaan rakyat yang semakin tertekan.

“Jadi peluang yang diberikan kita berdasarkan kepada sistem demokrasi maka pada 9 Mei iaitu hari Rabu merupakan peluang terbaik kepada kita untuk kita mencipta sejarah bagi kehidupan kita dan generasi akan datang,” katanya.

Nik Mohamad Omar yang membantu kempen PH termasuk di luar Kelantan menarik perhatian banyak pihak kerana sosok dan tutur katanya yang dikatakan lebih dekat dengan bapanya yang menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990 sehingga meninggal dunia pada awal 2015.

Nik Mohamad Omar dipecat dari PAS baru-baru ini kerana bertanding atas tiket PKR pada PRU14.

Pendiriannya bertanding sebagai calon PKR turut mencetuskan “konflik” dalam keluarga sehingga didakwa dianggap “anak derhaka” oleh ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen