Veteran keluar parti tak beri kesan pada undi, kata penyokong tegar Umno


The Malaysian Insight

PENYOKONG Umno tegar di Dengkil tidak merasakan yang pemimpin veteran parti itu yang kini menyertai Pakatan Harapan (PH) akan menimbulkan bahaya besar kepada kedudukan Barisan Nasional (BN) untuk kekal berkuasa.

Mereka yang ditemui Malaysia Decides berkata BN mungkin akan terkesan sedikit tetapi kesannya tidak akan memudaratkan parti itu.

“Bukan bermaksud keputusan mereka (untuk menyertai PH) tidak akan memberi kesan. Ia pasti menjejaskan undi, tetapi ia tidak banyak,” kata Aziz Osman.

Peniaga gerai berumur 39 tahun itu berkata, orang tidak berpuas hati dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didakwa telah menyebabkan harga barangan isi rumah meningkat.

Aziz berkata walaupun beliau hanya mendirikan warungnya selama tiga tahun tetapi dia dapat merasai kenaikan kos sara hidup.

“Ketika saya mula (berniaga), saya menetapkan harga lima keping apam balik pada harga RM3, tetapi sekarang saya menetapkan harga kepada empat keping pada harga RM3 kerana harga beberapa ramuan telah meningkat.

“Janji Pakatan untuk menghapuskan GST mungkin dapat mengalih beberapa undi (BN) kepada mereka tetapi saya percaya BN akan tetap berkuasa,” tambah Aziz.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin dan bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa, Rafidah Aziz dipecat daripada Umno selepas secara terbuka menyokong PH dalam acara kempen di seluruh negara manakala bekas menteri dan veteran Umno, Rais Yatim sedang disiasat parti itu.

Dalam pilihan raya umum 2013, kerusi Dengkil adalah kerusi yang dimenangi oleh calon BN Shahrum Mohd Sharif manakala dua lagi kerusi di kawasan Sepang, Tanjong Sepat dan Sungai Pelek masing-masing dimenangi oleh PAS dan DAP.

Mohamed Hanipa Maidin, yang masih bersama PAS pada PRU13 mengalahkan Mohd Zin Mohamed dan dua calon bebas, Suhaimi Mohd Ghazali dan Hanapiah Mohamad dengan 36,800 undi manakala selebihnya menerima 35,658 undi, 962 undi dan 315 undi.

Seorang lagi peniaga, Sulaiman Jiragar, 63, berkata terdapat kemungkinan besar BN akan merampas semula Sepang dari pembangkang meskipun beberapa veteran Umno menyertai PH.

“BN adalah terkuat berbanding dua gabungan lain dan mereka telah melakukan begitu banyak untuk rakyat. Mereka yang meninggalkan Umno, apa yang mereka katakan tidak akan memberi kesan.

“Peningkatan kos sara hidup pasti berlaku. Ia telah berlaku sejak saya masih kecil,” katanya.

Seorang lagi penduduk tempatan Dengkil yang hanya mahu dikenali sebagai Nasir, 50, berkata beliau tidak bersetuju dengan Rafidah yang menyamakan negara dengan sebuah rumah yang bakal runtuh disebabkan pentadbiran perdana menteri sementara Najib Razak.

Beliau berkata negara dalam keadaan baik dan tidak ada tanda-tanda yang ia akan runtuh tidak lama lagi.

“Tidak ada masalah, terutama di sini di Dengkil. BN pastinya akan memenangi kerusi (Sepang) kembali kerana saya jarang melihat calon PH berkempen di sini,” katanya.

Sepang bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Marsum Paing, PAS Sabirin Marsono dan penyandangnya, Hanipa.  – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen