Hanya Pakatan sediakan periksa dan imbang, kata Guan Eng


The Malaysian Insight

JIKA rakyat Pulau Pinang mahukan periksa dan imbang, mereka perlu undi Pakatan Harapan (PH) dan membantu kerajaan negeri sementara kekal di 30 kerusi DUN di negeri itu, kata Lim Guan Eng.

Ketua menteri sementara itu berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan mampu menyediakan periksa dan imbang, sementara manifesto PH Pulau Pinang berjanji untuk mengehadkan tempoh ketua menteri maksimum dua penggal dan melantik ketua pembangkang sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam untuk negeri.

“Apa periksa dan imbang yang BN cakapkan sedangkan manifesto mereka tidak menawarkan janji seperti itu? Kenapa mereka tidak mencadangkannya?

“Manifesto kami lebih baik,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat DAP Pulau Pinang petang tadi.

BN Pulau Pinang diketuai pengerusinya, Teng Chang Yeow menggesa pengundi di negeri menyokong gabungan itu dan meletakkan lebih ramai wakil rakyat BN ke sidang dewan undangan negeri, terutama daripada Gerakan dan MCA yang tersingkir sejak dua PRU lalu.

BN mempunyai 10 kerusi DUN, semuanya dimenangi Umno. Sejumlah 30 kerusi dimenangi pembangkang pada PRU13 termasuk satu-satunya kerusi PAS, Permatang Pasir yang kini ditandingi calon Amanah.

Lim, yang mempertahankan kerusi Air Putih berkata PH berharap PH juga berharap untuk menang di kerusi BN, tetapi perlu terlebih dulu mempertahankan 30 kerusi.

Lim yang juga timbalan presiden PH berkata rakyat tidak perlu membazir undi PAS seperti yang dinasihati Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, PAS bukan penentu, bukan “kingmaker” dalam PRU ini kerana parti Islam itu juga sukar mengekalkan kubu kuatnya di Kelantan.

“Mengundi PAS tidak akan menentukan siapa bakal mendapat kuasa kerajaan persekutuan. Pilihannya hanya antara PH dan BN, dan hanya PH boleh gantikan BN.

“Ia masih pertandingan satu lawan satu,” katanya. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen