DENGAN tinggal sehari lagi sebelum hari mengundi, Najib Razak dan Khairy Jamaluddin daripada Barisan Nasional (BN) memuat naik satu video menunjukkan mereka sedang berbincang tentang kempen musuh politik mereka dan pada masa sama memuji-muji pencapaian kerajaan.
Dalam iklan serangan kempen yang dimuat naik di laman Facebook Pentas Umno, perdana menteri sementara itu duduk bersama ketua Pemuda Umno itu di sebuah kedai makan, dengan Khairy kemudian merungut tentang “fitnah” yang disebarkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Khairy berkata tujuan utama PH ialah untuk “menimbulkan kemarahan” rakyat supaya mereka tidak mengundi Barisan Nasional (BN) walaupun gagal menunaikan manifesto dan janji.
Katanya, pemimpin PH menyajikan kepada rakyat “fitnah, hasutan dan harapan palsu”.
“Harapan hanya harapan. Tengok saja negeri yang mereka perintah, adakah mereka melakukan dengan lebih baik?
“Mana rumah mampu milik di Selangor, di Pulau Pinang? Masalah air ada lah.
“Kita tidak boleh memusnahkan negara ini. Kita mesti yakinkan rakyat dengan masa yang ada ni, antara BN dengan pembangkang yang diketuai DAP ini. Kita tidak boleh biarkan kebencian menang. Kita perlukan rakyat berhimpun di belakang kita.”
Najib kemudian kelihatan mengangguk bersetuju sebelum berkata: “Saya setuju KJ. Kita mesti membuat pertimbangan berdasarkan fikiran yang waras, rasional, mengambil kira fakta, bukan auta.”
“Faktanya kita ambil kira track record. Dan track record kita sejak 60 tahun, sejak pilihan raya lalu,” katanya menyentuh tentang dasar kerajaan yang menyediakan infrastruktur, rumah mampu milik dan program kebajikan sosial seperti BR1M.
“Kita ini bukan negara bankrap seperti didakwa pembangkang. Bukan negara gagal. Dan kita tidak perlu diselamatkan. Sebaliknya kita adalah negara yang berjaya. Insya-Allah, kita akan dapat buat apa yang telah kita janjikan.”
Video yang ditonton 54,000 tontonan dan 150,000 komen sejak dimuat naik enam jam lalu, diberikan tajuk yang agak pelik iaitu “Barisan Nasional gagal memenuhi keperluan rakyat - Mohon viralkan”. – 7 Mei, 2018.
Komen