Satu demi satu muslihat Najib yang cemas


The Malaysian Insight

ADA yang berpeluh di Putrajaya.

Selepas banyak berbelanja untuk sepanduk, bendera, jenama dan iklan pilihan raya dengan pelbagai platform media, perunding yang mahal dari London dan gula-gula pilihan raya, Najib Razak tidak pasti apakah beliau boleh mengalahkan lawannya Dr Mahathir Mohamad.

Setakat hari ini, Barisan Nasional (BN) dijangka akan menang tipis tetapi dengan undi popular yang dijangka hanya sekitar 40%. Dalam erti kata lain enam daripada setiap 10 pengundi akan menolak Najib dan BN.

Namun sekiranya gelombang sokongan yang ternampak di bandar-bandar merebak menyeluruh, kejutan mungkin boleh berlaku.

Senario ini menjelaskan kenapa Najib kelihatan cemas 48 jam sebelum hari pengundian.

Begitu cemasnya sehinggakan beliau dan pasukannya terpaksa memujuk bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengeluarkan kenyataan yang meminta rakyat Malaysia tidak membuat perubahan apabila mengundi nanti.

Kenyataan itu samalah seperti apa yang dilakukan oleh Jamal Yunos dan mencemarkan imej dan reputasi Abdullah.

Kalau semalam kenyataan itu menjengkelkan kita, video Tony Fernandes yang tersebar melalui YouTube lebih jelas lagi menunjukkan keadaannya yang terdesak.

Ketua Air Asia itu dan pentadbiran Najib selama ini berlaga angin apabila Putrajaya kesal dengan cara Fernandes yang suka menghebohkan kepada umum percanggahan pandangannya dengan agensi kerajaan.

Tetapi kalau seseorang itu tidak popular, orang itu tentulah mahu bergantung pada orang yang popular dan berharap tempiasnya ada. Jadi Najib mencari Fernandes.

Fernandes yang tahu beliau tidak boleh beroperasi di Malaysia tanpa bantuan kerajaan pun setuju.

Menyokong Najib satu perkara tetapi tidak menghormati pengundi Malaysia adalah satu perkara yang lain pula. Dalam hendak menyokong Najib dan pasukannya, beliau memandang hina pengundi – mereka yang menjadikannya kaya raya.

Beliau menggesa rakyat Malaysia mengundi mengikut fakta, bukannya auta.

Cukup menghina!

Bukankah hakikatnya kos sara hidup membebani sejumlah besar rakyat Malaysia?

Bukankah faktanya berbilion ringgit diselewengkan daripada 1MDB?

Adakah maksudnya berjuta rakyat Malaysia yang menyokong pembangkang telah terpedaya dan tidak mampu membuat pilihan untuk masa depan negara?

Najib dan rakan-rakannya tahu AirAsia mempunyai ramai pengikut di media sosial dan dipandang tinggi oleh rakyat Malaysia. Mereka berharap klip video itu akan menjadikan sebahagian pengikutnya bertukar menyokong Najib pada 9 Mei.

Tetapi silap strategi itu ialah ia tidak mengambil kira mood perubahan di akar umbi . Hakikatnya, rakyat Malaysia dapat menghidu muslihat jauh berbatu-batu.

Ya, ramai antara kita menghormati Tony Fernandes kerana membina Air Asia mencipta nama hingga ke kelas dunia.

Tetapi kita juga faham bahawa beliau bukan salah seorang daripada kita.

Kita mahukan Malaysia yang lebih baik.

Sedangkan beliau mahu membantu rejim rasuah. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen