Pemimpin BN, PH asak kempen 36 jam terakhir di Semenanjung


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Barisan Nasional dan Pakatan Harapan meneruskan asakan pusingan terakhir dalam tempoh 36 jam sebelum kempen pilihan raya umum ke-14 ditutup tengah malam esok.

Perdana Menteri sementara Najib Razak yang berada di Sabah sejak Ahad hari ini menyambung kempennya di Keningau, Beaufort dan Kota Marudu sebelum pulang ke Kuala Lumpur petang ini.

Pengerusi BN itu dijadual ke Pekan esok dan akan terus berkempen di kawasan parlimen yang ditandinginya itu sehingga hari pengundian pada Rabu.

Najib yang mempertahankan Pekan untuk penggal ke-9 dicabar tiga calon iaitu Zahid Mat Arip dari PH, Ahiatudin Daud (PAS) dan Abd Kadir Sainudin (Bebas).

Malam esok, Najib dijadual menyampaikan perutusan khas yang akan disiarkan melalui televisyen pada pukul 10 malam.

Perutusan Najib itu dijadual serentak dengan amanat pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang akan dipancarkan secara langsung melalui Facebook.

Mesej kedua-dua pemimpin itu akan menutup kempen PRU14 yang bermula pada 28 April lalu, sebelum lebih 14.6 juta pengundi yang layak membuat pilihan pada Rabu.

Dr Mahathir, yang bertanding di Langkawi, menumpukan kempennya di pulau itu sehingga hari pengundian.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin yang menyertai kempen PH pada hari keempat kempen hari ini mempunyai enam acara di Lembah Klang pada sebelah siang dan satu acara di Langkawi malam ini.

Dr Mahathir dan Daim dijadual mengadakan sidang media di Langkawi tengahari esok.

Seorang lagi bekas veteran Umno Rafidah Aziz yang mula menyertai kempen PH Jumaat lalu, malam esok akan bersama-sama PH di Pulau Pinang dalam rapat umum kemuncak gabungan itu di Padang Kota Lama, di George Town.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Omar, anak bekas Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz, yang disifatkan oleh beberapa penganalisis sebagai faktor mempengaruhi usaha meraih sokongan undi antara PH dan PAS, akan menyampaikan amanatnya melalui Facebook malam ini. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen