DALAM usaha untuk bertanding, perdana menteri sementara Najib Razak juga akan menyampaikan perutusan khas yang akan disiarkan secara langsung pada esok malam yang merupakan malam hari mengundi.
Calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad memaklumkan minggu lepas bahawa beliau akan berucap di hadapan rakyat Malaysia dalam perutusan khas di Langkawi yang turut akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial.
Najib menggunakan saluran berita arus perdana untuk menyiarkan perutusan khasnya itu pada pukul 10 malam.
Manakala Dr Mahathir pula akan berucap secara langsung dari sebuah dewan di Langkawi yang akan disiarkan menerusi Facebook.
Bekas perdana menteri itu bertanding di Langkawi untuk memimpin Pakatan Harapan ke Putrajaya.
Sementara itu, Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menganjurkan konsert mega yang menampilkan beberapa selebriti di Langkawi pada pukul 8 malam.
Antara barisan artis yang terlibat termasuk Joe Flizzow, Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah dan Ayda Jebat.
Terdapat juga cabutan bertuah yang menawarkan hadiah berupa motorsikal, telefon pintar, dron dan platform permainan. – 7 Mei, 2018.
Komen