Belia perlu celik politik, kata calon muda Pakatan Ayer Keroh


The Malaysian Insight

BIMBANG dengan keadaan semasa negara, calon DUN Ayer Keroh Pakatan Harapan (PH), Kerk Chee Yee berkata anak muda perlu celik politik dan bukan sekadar membuta tuli mengundi serta menyokong sesuatu parti itu.

Kerk yang merupakan calon termuda daripada DAP itu berkata, disebabkan faktor itu terdapat sesetengah anak muda yang tahu apa yang sesebuah parti itu perjuangkan untuk rakyat.

“Saya percaya semua rakyat Malaysia patut lebih peka mengenai polisi, lebih peka mengenai pilihan dan ideologi sesuatu parti itu.

“Mereka sepatutnya ada pendirian (dalam politik) dan mengundi berdasarkan apa yang parti itu lakukan, sejajar dengan pendirian mereka,” katanya kepada Malaysia Decides.

Kerk berkata keperluan reformasi di negara ini menjadi antara faktor utama yang membuatkan beliau mengambil langkah drastik untuk keluar dari zon selesa dengan terjun ke bidang politik dari industri pelaburan perbankan yang diceburi selama tiga tahun.

Katanya, isu mengenai ekonomi negara yang membelenggu rakyat seperti kos sara hidup, masalah pengangkutan dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) benar-benar menarik pemuda berusia 25 tahun ini.

Beliau berkata kerajaan sedia ada sering kali menggunakan angka seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi menyedapkan hati rakyat.

“Daripada segi cabaran ekonomi, saya rasa kerajaan sedia ada tidak memandang hal ekonomi tetapi lebih kepada hal politik. Kita boleh lihat kebanyakan rakyat Malaysia terseksa (dengan kos sara hidup) dan mereka beritahu tidak mahukan GST, tetapi kerajaan tidak mendengarnya.

“Walhal, ada menteri yang beritahu untuk melakukan dua kerja, jual nasi lemak sebagai pendapatan sampingan.

“KDNK tak menunjukkan agihan pendapatan negara atau kebahagiaan rakyat. Ia juga tidak memberitahu kita sektor mana yang menyumbangkannya,” katanya.

Beliau berkata ketika berkempen beliau mendekati penduduk dengan menyentuh isu yang dekat dengan mereka dan salah satunya berkenaan isu tempatan di situ.

Katanya, rakyat Melaka secara keseluruhannya sering dibelenggu dengan masalah kesesakan trafik di situ dan negeri ini memerlukan perkhidmatan bas percuma sepertimana yang dilakukan di Selangor iaitu bas Smart Selangor.

Beliau mencadangkan sebagai permulaan, bas percuma itu dapat menghubungkan ke kawasan penting seperti hospital, bangunan pentadbiran kerajaan, kawasan perniagaan, tempat pelancongan dan hab pengangkutan, bagi menampung kira-kira 900,000 populasi di Melaka.

Jumlah ini akan bertambah hampir empat kali ganda termasuk pelancong serta orang luar dalam waktu seminggu pada Tahun Baru Cina dan ia akan menambahkan kesesakan jalan raya dan menyukarkan mencari tempat letak kereta.

Kerk ialah anak kepada Kerk Kim Hock iaitu bekas setiausaha politik pemimpin DAP Lim Kit Siang dan pernah menjadi Adun dan ahli Parlimen di Melaka.

Katanya, beliau tidak kisah penduduk di Ayer Keroh sering menyebut nama bapanya ketika beliau berkempen, malah berbangga dengan apa yang dilakukan oleh bapanya kepada penduduk di kawasannya selama ini.

“Saya bangga apabila bila keluar orang ramai selalu kata ayah saya seorang yang baik, pemimpin yang hebat. Saya bangga kerana orang ramai masih mengingatinya,” katanya.

Meskipun umurnya sering diperkotak-katikkan oleh lawannya Chua Kheng Hwa dari Barisan Nasional, namun Kerk merasakan umur mudanya itu salah satu kekuatan dalam menceburkan diri dalam bidang politik.

“Saya rasa apa yang lebih penting kemahuan dalam berkhidmat untuk rakyat dan memainkan peranan sebagai parti pembangkang,” katanya. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen