CALON Rantau PKR, Dr S Streram memfailkan saman RM7.6 juta terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pegawai pengurus pilihan raya Amino Agus Suyub kerana menghalang beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan.
Saman misfeasans tersebut difailkan oleh peguam Streram, Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi.
Streram mendakwa SPR dan Amino gagal melaksanakan tanggungjawab di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958 kerana tidak membenarkan beliau bertanding di kerusi Rantau meskipun beliau mempunyai surat pelantikan dari partinya dan telah membayar wang deposit RM8,000.
Streram telah membayar deposit RM5,000 untuk pencalonan dan RM3,000 lagi bagi bahan kempen pada 25 April. Beliau mendakwa telah dimaklumkan bahawa pas SPR tidak diperlukan untuk memasuki pusat penamaan.
SPR mengumumkan menteri besar sementara Negeri Sembilan Mohamad Hassan menang tanpa bertanding pada 11 pagi, 28 April.
Haniff berkata saman itu adalah sebagai mesej kepada para pegawai SPR yang menurutnya tidak bertindak dengan adil.
“Pegawai-pegawai awam harus sedar bahawa sekiranya mereka bersekongkol menyalahi undang-undang bersama kerajaan Perdana Menteri (sementara) Najib Razak dan dengan menyalahguna kuasa mereka, mereka juga berisiko menerima saman misfeasans,” katanya.
“Ini sebagai amaran kepada semua pegawai awam sehingga kerajaan baharu mengangkat sumpah selepas keputusan PRU14 diumumkan pada malam 9 Mei,” tambah Haniff. – 7 Mei, 2018.
Komen