JANJI Barisan Nasional (BN) untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi kemasukan ke universiti awam didapati tidak memadai untuk menarik minat golongan Cina di Sabah untuk mengundi parti kerajaan.
Janji tersebut diumumkan perdana menteri Najib Razak semasa menemui pengundi Cina di Sandakan pada minggu lalu nampaknya tidak terkesan di hati pemilih ini.
Seorang ahli perniagaan Jeremy Chong dari Taman Bandar Utama, Sandakan berpendapat tawaran itu tidak relevan kerana calon peperiksaan yang menduduki UEC biasanya sudahpun mempunyai sasaran untuk belajar di luar negara.
“Biasanya yang ambil mahu ke Taiwan, China atau universiti luar negara lain. Untuk universiti awam agak kurang jadi susah mahu kata ia mampu beri sokongan terus kepada BN,” kata beliau kepada Malaysia Decides.
Seorang pekerja swasta, Raymond Tan daripada Batu Sapi juga tidak tertarik dengan janji itu kerana lebih berminat dengan tawaran untuk melakukan perubahan dan kemajuan negeri.
“UEC itu baik, di Sarawak pun sudah umumkan tapi masyarakat Tionghua ini lebih pentingkan mereka yang sanggup buat perubahan,” kata beliau.
Sementara itu bekas guru, Jimmy Wai dari Karamunting pula mempersoalkan mengapa BN perlu menunggu pilihan raya kerana Sarawak telahpun mengumumkan perkara sama dua tahun lalu.
“Jadi saya rasa ia hanyalah satu bahan kempen, tidak lebih dari itu,” kata beliau.
Sijil UEC telahpun diiktiraf di serata dunia termasuk universiti terkenal seperti Oxford, Cambridge serta Universiti Kebangsaan Singapura (NUS).
Di peringkat negeri, kerajaan Sarawak pada 2016 juga telah mengiktriraf UEC untuk kemasukan ke semua kolej dan universiti milik negeri termasuk bawah pembiayaan Yayasan Sarawak.
Bagaimanapun ia masih tidak diiktiraf untuk kemasukan universiti di Malaysia dan kini BN menawarkannya dalam manifesto PRU14 walau mendapat tentangan keras dari NGO Melayu Islam seperti Perkasa dan Isma.
Masyarakat Cina di Sabah merupakan komuniti bukan bumiputera terbesar di negeri itu dan membentuk kira-kira 15% pengundi dan bertumpu di bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Penampang dan Tawau.
Dalam PRU 2013, kesemua kerusi dengan jumlah komuniti Cina yang signifikan di Penampang, Kota Kinabalu serta Sandakan telahpun dimenangi DAP dan PKR.
Najib dijangka berkempen sekali lagi turun di Kota Kinabalu hari ini dalam kempen fasa akhir PRU 14 ini. – 7 Mei, 2018.
Komen