Guan Eng nafi tuduhan propaganda DAP fitnah kerajaan


The Malaysian Insight

KETUA menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan ahlinya, Amran Ahmad berkenaan pendedahan mengenai propaganda DAP dengan membuat risalah dan rakaman video memfitnah kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Setiausaha agung DAP itu berkata pendedahan itu tidak benar dan Amran bukan pegawai khasnya.

“Amran bukan pegawai khas saya dan laporan itu juga tidak benar,” kata Lim ringkas ketika ditanya wartawan selepas program Jelajah Pakatan Harapan (PH) di Alor Setar.

Amran yang juga timbalan pengerusi biro buruh DAP pusat merangkap pemikir publisiti pengundi Melayu DAP membuat dakwaan tersebut hanya beberapa hari sebelum hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Penolong penerbit Ubah TV iaitu saluran televisyen rasmi portal DAP itu berkata semua bahan propaganda berniat jahat dan berunsurkan fitnah itu sudah siap dan akan diedarkan secara berperingkat menjelang hari pengundian 9 Mei ini.

Amran mendakwa antara fitnah sedang dan akan terus disebarkan parti pembangkang itu adalah isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Felda dan Tabung Haji, selain menyentuh perkauman, menghina agensi kerajaan, ekonomi, tol dan projek kerajaan.

Susulan itu polis membuka kertas siasatan terhadapnya dan disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti yang mengganggu demokrasi Parlimen.

Amran yang juga bekas wartawan Utusan Malaysia, pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada ketua menteri Pulau Pinang selepas beliau dipecat dari syarikat akhbar itu pada 2009. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen