AHLI Parlimen Kluang Liew Chin Tong dikasari ketika memberikan kurma percuma kepada pengunjung bazar Ramadan di Kluang, Johor petang semalam.
Liew berkata, kejadian itu berlaku sebelum jam 7 petang semasa beliau dan kakitangannya berada di bahagian barang kering bazar itu.
“Apabila kami memasuki seksyen itu, beberapa peniaga menyekat jalan kami dengan tiga meja. Mereka menjerit menyuruh kami meninggalkan kawasan itu.
“Seorang daripada kakitangan saya dikasari dan semasa pergelutan itu saya dipukul di dahi dan cermin mata jatuh di atas jalan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Video kejadian itu tersebar luas, meraih 2,100 “like”, 1,700 komen dan ditonton 78,000 kali.
Dalam rakaman berdurasi 28 saat itu, kelihatan peniaga bazar mengganggu Liew dan kakitangannya semasa mereka mula mengedarkan kurma.
Kumpulan itu mula bertindak kasar dan mula menjerit kepada mereka supaya meninggalkan kawasan itu.
Seorang daripadanya yang memperkenalkan diri sebagai imam memberi amaran kepada wakil DAP itu agar tidak bercakap mengenai Islam.
Liew, yang juga pengarah pendidikan kebangsaan DAP, membuat laporan di Balai Polis Kluang malam tadi.
Dua laporan polis yang lain dibuat orang lain dalam parti.
Ini adalah kejadian kedua di mana ahli parti pembangkang dikasari.
Bulan lepas seorang pegawai kerajaan Pulau Pinang ditampar penunjuk perasaan dalam bantahan di luar Masjid Simpang Enam.
Kumpulan itu hadir di luar masjid bagi membantah atas apa yang mereka dakwa sebagai campur tangan kerajaan negeri dalam hal fatwa di Pulau Pinang.
Pegawai Penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Zaidi Ahmad, ditampar ketika mendekati kumpulan itu bagi bertanyakan fatwa manakah yang didakwa itu. – 11 Jun, 2017.
Komen