Hishammuddin, Khairy, Tiong Lai, Subramaniam akan tewas PRU14, kata Invoke


The Malaysian Insight

PEMIMPIN tertinggi Barisan Nasional (BN) seperti Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Liow Tiong Lai dan S Subramaniam akan tewas pada PRU14, kata Invoke Centre for Policy Initiatives (Invoke) hari ini.

Pengasas Invoke Rafizi Ramli berkata, naib presiden Umno itu akan tewas di Parlimen Sembrong, ketua Pemuda Umno di Rembau, presiden MCA di Bentong dan presiden MIC di Segamat.

Keempat-empat pemimpin itu merupakan penyandang di empat kerusi Parlimen tersebut.

Rafizi berkata, Hishammuddin akan tewas disebabkan peralihan dalam undi orang-orang Melayu di Johor.

“Kita harus ingat, Sembrong dan Rembau adalah kerusi campuran. Akan berlaku peralihan besar undi Melayu di Johor,” katanya ketika membentangkan data tinjauan terbaru Invoke di Kuala Lumpur hari ini.

Rafizi berkata, Khairy boleh kalah di Rembau disebabkan “drama” hari penamaan calon menyebabkan kemarahan pengundi India.

“Khairy menang di Rembau disebabkan pengundi India. Selepas apa yang berlaku di Rantau, pengundi India tidak begitu berminat undi mengundinya,” kata naib presiden PKR itu.

Semasa hari penamaan calon pada 28 April lalu, calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Parlimen Rembau Dr S Stretram tidak dibenarkan mencalonkan diri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak mempunyai pas calon.

Ini menyebabkan Menteri Besar Sementara Negeri Sembilan Mohamad Hassan memenangi kerusi DUN Rantau tanpa bertanding.

Rafizi menambah, Menteri Besar Sementara Johor Khaled Noordin akan turut tewas di kerusi Parlimen Pasir Gudang yang ditandinginya.

Tinjauan Invoke itu turut mendapati calon perdana menteri PH Dr Mahathir Mohamad akan menang di Langkawi, Kedah dan ahli strategi DAP Liew Chin Tong akan menang di Ayer Hitam, Johor.

Invoke turut mendapati Naib Presiden Amanah Husam Musa akan memenangi kedua-dua kerusi Parlimen Kota Bharu dan DUN Salor ditandinginya di Kelantan. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen