Syerleena calon DAP diserang ‘anti Islam’ lagi


The Malaysian Insight

DENGAN tinggal kurang dua hari tempoh untuk berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) untuk Seri Delima, Pulau Pinang, Syerleena Abdul Rashid daripada DAP terus-terusan berdepan serangan peribadi dan fitnah.

Kain rentang baharu menuduhnya menyerang Islam dan menukar agama rasmi kepada Kristian mula kelihatan di sekitar kawasan DUN yang ditandinginya. Satu kain rentang memaparkan dua petikan yang dikaitkan dengannya.

Satu petikan tertulis: “Saya bersumpah akan menyerang institusi Islam khususnya Jakim demi DAP”.

Lagi lagi petikan di kain rentang yang sama tertera: “Saya akan berjuang agama rasmi Malaysia akan ditukarkan kepada Kristian agama rasmi Malaysia selepas PRU14”.

“Saya dimaklumkan mengenai kain rentang itu pagi tadi, menuduh saya ada agenda untuk mengubah agama rasmi. Saya tidak pernah buat kenyataan seperti itu.

“Ada orang cuba mencemar imej saya kerana saya mewakili DAP dan ia menjejaskan kedudukan saya kerana saya calon wanita dalam PRU ini,” katanya pada sidang akhbar di pusat operasi PH Bukit Gelugor di Seri Delima tengah hari tadi.

Syerleena, bekas ahli majlis yang juga calon wanita Melayu pertama DAP di Pulau Pinang, berkata ini kali kelima beliau mengadakan sidang akhbar untuk membangkitkan tentang fitnah itu, serangan dan ugutan yang diterimanya serta ahli pasukan kempennya.

Sebelum kempen bermula, mesej WhatsApp tersebar mempersoalkan pencalonannya. Beliau dituduh mahu menggulingkan Jakim dan mendirikan kerajaan Kristian.

Minggu lalu, ceramah PH di Taman Tun Sardon, Seri Delima diganggu oleh beberapa individu dan salah seorang rakannya dalam pasukan kempen diugut oleh individu tidak dikenali ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Mereka menggunakan templat dan label yang sama untuk serang saya. Mereka juga jadikan isu kerana saya tidak bertudung.

“Saya diberitahu oleh seorang penduduk Seri Delima bahawa orang ramai membincangkan seksualiti saya, membuat spekulasi sama ada saya lesbian atau tidak,” kata calon berusia 38 tahun itu.

Setakat ini, lima laporan polis dibuat oleh pasukan Syerleena berhubung serangan itu, termasuk berkenaan kain rentang terbaru berkenaan yang sudah diturunkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen