Tiada petunjuk baharu kes bunuh Zayn, kata polis


Alfian Z.M. Tahir

Polis masih mencari petunjuk mengenai kes bunuh membabitkan kanak-kanak autisme berusia 6 tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2023.

TIADA sebarang petunjuk baharu ditemui berhubung pembunuhan kanak-kanak autisme berusia 6 tahun Zayn Rayyan Abdul Matiin, kata ketua polis Selangor Hussein Omar Khan.

Bagaimanapun, beliau berkata polis setakat ini merekodkan 172 kenyataan daripada penduduk di Apartment Idaman di Damansara Damai, Petaling Jaya yang mana mayat Zayn ditemui.

“Siasatan masih diteruskan, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui. Pasukan saya sedang mencari petunjuk di kawasan itu,” kata Hussein ketika dihubungi.

Semalam pasukan forensik dari ibu pejabat polis Bukit Aman dan Selangor sekali lagi menjalankan lakonan semula peristiwa yang berlaku sebelum kematian Zayn di kawasan kejiranan itu.

Pasukan itu tiba di blok pangsapuri di Damansara Damai kira-kira jam 11 pagi dan anggotanya dilihat menemani seorang kanak-kanak, yang didakwa melihat Zayn pada petang kehilangannya pada 5 Disember lalu. Kanak-kanak itu melakonkan semula pergerakan mangsa.

Pasukan forensik menjalankan lakonan semula kejadian di Blok R sebelum saksi kanak-kanak itu dibawa ke tangga berhampiran beberapa semak.

Bagaimanapun, media hanya boleh mengambil gambar dan memerhati dari jauh dan tidak dibenarkan mendekati kawasan pangsapuri.

Lakonan semula itu membabitkan dua saksi kanak-kanak yang juga rakan mangsa berusia 6 dan 9 tahun.

Lakonan semula itu dilakukan untuk menentukan sama ada terdapat sebarang bukti baharu dari tangga Blok R menuju ke anak sungai tempat mayat Zayn ditemui.

Sehari lalu, polis menjalankan pemeriksaan besar-besaran terhadap penduduk yang membawa kepada penemuan dua kanak-kanak, yang mendakwa mereka melihat Zayn di tingkat 2 dan 3 Blok R di apartmen itu pada 5 Disember.

Polis juga sebelum ini merekodkan keterangan daripada 86 individu bagi memudahkan kes itu dan turut mengumpul 10 sampel DNA (asid deoksiribonukleik) tambahan, menjadikan jumlah keseluruhan 238 sampel dikumpul setakat ini.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember di Damansara Damai dan mayatnya ditemui di anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya di Apartment Idaman pada hari berikutnya. – 16 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen