Jokowi hadiri Sidang Kemuncak Asean-Jepun


Presiden Indonesia Joko Widodo berlepas ke Tokyo bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun. – Gambar EPA, 16 Disember, 2023.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo atau Jokowi berlepas ke Tokyo pada Sabtu untuk lawatan kerja bagi menghadiri tiga agenda utama pada Sidang Kemuncak Peringatan Asean-Jepun.

Beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Fumio Kishida sebelum bersama-sama mengetuai sidang kemuncak itu dan menghadiri Sidang Kemuncak Komuniti Sifar Emisi Asia (AZEC) yang julung kali diadakan.

“Jepun adalah rakan kongsi penting dan strategik bagi Indonesia dan Asean,” kata Jokowi dalam sidang media sebelum berlepas ke Tokyo.

Dalam pertemuan dengan Kishida, beliau akan membincangkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang ekonomi, infrastruktur, peralihan tenaga, mineral dan hal ehwal maritim.

Pada sidang kemuncak itu, pemimpin akan membincangkan pengukuhan perkongsian antara Asean dan Jepun, merangkumi topik seperti ekonomi hijau, transformasi digital dan pelaksanaan pandangan Asean mengenai Indo-Pasifik.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian akan mengetuai sambutan ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Asean-Jepun dengan tema ‘Golden Friendship, Golden Opportunity’.

Jokowi akan menekankan semangat kerjasama inklusif untuk mencapai kawasan bebas emisi semasa Sidang Kemuncak AZEC yang akan dihadiri oleh pemimpin dari Jepun, Australia dan negara anggota Asean.

AZEC, platform negara Asia yang mempromosikan penyahkarbonan dengan sokongan Jepun, dilancarkan semasa Sidang Kemuncak G20 di Bali pada 2022.

Indonesia memperoleh pembiayaan sebanyak AS$500 juta melalui AZEC untuk melaksanakan program peralihan tenaga dan meningkatkan kerjasama dalam usaha penyahkarbonan awam-swasta. – Bernama, 16 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen