Ambil semua dokumen Kementerian Kewangan selepas menang PRU14, kata Daim


The Malaysian Insight

PERKARA pertama yang harus dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah mendapatkan kesemua dokumen di Kementerian Kewangan, kata bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.

Daim, yang sedang menjelajah ke seluruh negara bersama pembangkang bagi berkempen untuk Dr Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), berkata langkah itu bagi memastikan wang yang hilang ketika pentadbiran sebelum ini dapat dikembalikan semula kepada rakyat.

“Bila menang (pada 10 Mei), perkara pertama yang perlu dibuat adalah pergi ke Kementerian Kewangan dan ambil semua dokumen.

“Setiap sen, sama ada dengan Jho Low atau tidak, akan diambil dan serahkan (duit itu) kepada rakyat,” katanya di hadapan 100 hadirin di Shah Alam.

Perdana menteri sementara Najib Razak, ahli keluarganya dan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau dikenali sebagai Jho Low, terpalit skandal1Malaysia Development Berhad(1MDB).

Walaupun siasatan dilakukan oleh beberapa negara ke atas skandal tersebut, termasuk tindakan saman sivil yang difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, hanya Singapura yang telah menghukum pesalah yang terbabit dalam skandal 1MDB.

DoJ merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa dibeli menggunakan dana yang dicuri daripada 1MDB, menjadikan jumlah keseluruhan dana yang diseleweng berjumlah AS$4.5 bilion.

Daim, yang merupakan menteri kewangan semasa pentadbiran Dr Mahathir, berkata pemimpin yang tidak membuat salah tidak harus takut dan “lari” jika mereka kalah PRU14.

“Hanya pencuri yang larikan diri,” katanya, sambil disambut sorakkan hadirin.

Beliau berkata beliau percaya PH, yang dipimpin Dr Mahathir, mampu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi negara selepas mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

“Kami akan mansukan cukai barangan dan perkhidmatan. Dan kamu semua tidak akan merasa sengsara lagi, harga barangan akan turun. Apa yang penting adalah untuk memperbetulkan segala masalah. Negara kita kini berada dalam situasi genting.”

Daim mengkritik GST, yang dilaksanakan pada 2015 oleh pentadbiran Najib.

Beliau berkata jika PH berjaya membentuk kerajaan, hanya 18 bulan diperlukan untuk membangunkan semula ekonomi, meskipun tanpa pelaksanaan cukai regresif itu. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen