M40 pilih melancong dalam negara, lebih jimat belanja


Alfian Z.M. Tahir

Melancong dalam negara lebih menjimatkan bagi kebanyakan keluarga M40 yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Disember, 2023.

ISU kewangan ditambah dengan senario kelemahan ringgit antara faktor yang menyebabkan kebanyakan golongan M40 tahun ini memilih untuk hanya melancong dalam negara.

Rata-rata yang ditemu bual The Malaysia Insight berkata selain kos yang jauh lebih rendah, mereka yang sudah berkeluarga juga berbelanja secara berhemah kerana perlu menyediakan kelengkapan sekolah anak lebih-lebih lagi apabila pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 pada Mac depan bertembung dengan Ramadan.

Ada pula yang bercadang untuk pulang ke kampung, manakala selebihnya memilih aktiviti perkhemahan di tepi sungai yang semakin menjadi kegemaran ramai.

Bagi anak kelahiran Pulau Pinang, Mohd Azmin Sulaiman, beliau sekeluarga tidak ke mana-mana semasa cuti sekolah kerana jadual kerjanya yang padat, selain perlu berjimat-cermat.

“Cukai jalan kereta saya akan tamat akhir bulan ini, dan kosnya lebih RM1,500. Tahun depan pula dua anak saya akan masuk tadika, sementara yang sulung naik Darjah 4,” katanya.

“Baju sekolah, beg, kasut dan yuran sahaja sudah pasti akan telan kos lebih RM2,000. Sebab itulah kami ambil keputusan untuk tidak ke mana-mana.

“Kalau ada pun saya mungkin akan bawa isteri dan anak-anak balik ke kampung sekejap,” tambah pekerja swasta itu.

Sementara bagi pensyarah Komunikasi Massa Nurul Hanani Omar, 37, beliau dan keluarganya merancang untuk bercuti ke Tambun, Perak sempena cuti penggal ketiga sekolah yang baru bermula.

“Saya cadang untuk bawa keluarga ke taman tema di Tambun saja, sebab bercuti ke luar negara perlukan kos yang lebih besar.

“Tambahan pula kita akan sambut Ramadan tak lama lagi iaitu Mac tahun depan. Bulan Mac juga sesi baru persekolahan bermula, jadi banyak persediaan perlu dibuat. Yuran sekarang pun dah mahal,” kata wanita berasal dari Klang itu kepada The Malaysian Insight.

Dapatan tinjauan “Barometer Percutian 2023” oleh Europ Assistance (EA) bersama syarikat penyelidikan pasaran Ipsos menunjukkan 80% Malaysia teruja untuk melancong tahun ini.

Tinjauan dijalankan antara Mac hingga April lalu itu melibatkan 15,000 responden di 15 negara. 

Daripada 1,000 responden Malaysia yang terlibat, 69% merancang untuk melancong ke luar negara manakala 41% memilih dalam negara.

Bagi destinasi pelancongan pula, 54% responden Malaysia memilih untuk bercuti di tepi pantai, diikuti kawasan bandar (53%), luar bandar (42%) dan pergunungan (28%). – 16 Disember, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen