SEHINGGA malam tadi, sukar untuk mengagak pertembungan antara penyandang selama tiga penggal Razali Ibrahim dan pesaing utamanya, Syed Saddiq dari Pakatan Harapan (PH) di Muar.
Meskipun anak muda itu telah menarik kehadiran yang ramai ke ceramah yang disertainya bersama nama-nama besar seperti Muhyiddin Yassin, Yeo Bee Yin dan Salahuddin Ayub, Syed Saddiq menempuhi kesukaran untuk menembusi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
DI kerusi parlimen Muar, lebih daripada 33 pusat mengundi terletak di kawasan majoriti Melayu, dengan Parit Nawee mempunyai majoriti tertinggi (99.15%). Parit Bakar pula mempunyai komposisi pengundi Melayu terendah iaitu 48.3%.
Persempadanan semula tidak memberi kelebihan kepada Syed Saddiq kerana pusat pengundian dengan 2,000 pengundi beranjak dari Bakri ke Muar, meningkatkan komposisi Melayu di Muar daripada 62% ke 66%. Pada pilihan raya yang lepas, Razali memperoleh majoriti tipis 1,646 (4%) undi dalam kawasan dengan 48,208 pengundi.
Anak muda berusia 25 tahun itu mendapati sukar baginya untuk memberi impak besar kepada pengundi Melayu. Beberapa program beliau pada minggu lepas terpaksa dibatalkan atas alasan “halangan”.
Tetapi ia mungkin berubah malam tadi, pada “majlis debat yang tak jadi”, apabila bekas pensayarah sambilan Universiti Islam Antarabangsa itu mengambil alih podium tanpa Razali di Hotel Traders Muar.
Tanpa kehadiran lawannya, Ketua Pemuda Bersatu itu berbicara tentang politik baharu di bawah PH yang menolak rasuah.
Majlis debat yang tidak jadi semalam menarik hampir 1,000 orang, seimbang bilangan Melayu dan bukan Melayu.
Tiada diskriminasi terhadap hadirin yang menyokong parti lawan pada majlis itu. Syed Saddiq bercakap mengenai Muar yang baharu yang akan membawa balik anak jati bandar itu yang sekarang ini bekerja di luar.
Walaupun ini sekadar janji-janji pilihan raya, kata-kata beliau meyakinkan, sementelah beliau merupakan pendebat terbaik Asia. Lebih daripada sekadar janji, kata-kata bekas graduan Maktab Tentera DiRaja itu bernadakan harapan. Dan harapan itulah yang dicari-cari khalayak yang hadir malam tadi.
Namun, sesi soal jawab membuatkan Syed Saddiq lebih menonjol.
Disoal mengenai apakah PH akan memberi kebebasan kepada media, menyelesaikan masalah ekonomi di Muar dan sama ada pakatan pembangkang itu boleh mentadbir negara walaupun terdiri daripada parti yang berbeza, kematangan Syed Saddiq dilihat melalui cara beliau menjawab satu demi satu persoalan dengan yakin.
“Sebelum ini saya tak yakin dengan dia,” kata Ishak Ali,50, seorang kakitangan kerajaan. “Tetapi malam ini dia menunjukkan yang dia boleh menjadi pemimpin anak muda dan sayang kalau dia tak menang.”
Ini turut dipersetujui isteri Ishak, Shamsiah yang berkata kekalahan Syed Saddiq akan merugikan Johor dan Muar.
Pada satu majlis seminggu sebelumnya, Razali berucap di hadapan ketua-ketua kampung dan Rukun Tetangga.
Beliau memberitahu yang keadaan Malaysia akan menjadi buruk jika BN kalah pada pilihan raya kali ini. Malaysia akan menjadi seperti Libya kalau PH menang, katanya. Razali juga berkata mereka yang mengkritik perdana menteri sementara Najib Razak tidak tahu menjaga kampung mereka sendiri dengan baik.
Pendek kata, menteri berusia 47 tahun itu menakut-nakutkan ketua-ketua kampung.
Lusa, rakyat Malaysia akan memilih calon pilihan mereka dan kerajaan yang akan memerintah negara untuk lima tahun akan datang.
Di Muar, pilihannya nanti adalah antara harapan baharu yang dibawa oleh seorang calon muda dan mantera ketakutan yang dibawa oleh parti yang takut hilang kuasa. – 7 Mei, 2018.
Komen