Kempen peringkat akhir di Sabah tumpu undi Suluk


The Malaysian Insight

MENJELANG hari-hari terakhir kempen di Sabah, persaingan tertumpu kepada sokongan komuniti Suluk yang dianggarkan membentuk 52 peratus dari pengundi bumiputera Islam di negeri ini.

Di media sosial dan melalui kempen mulut ke mulut, BN giat membangkitkan bahawa Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin bekas pemimpin Umno Shafie Apdal tidak berjaya meraih sokongan pengundi Suluk.

“Shafie hanya banyak dapat sokongan daripada orang Bajau Semporna. Orang di Sandakan tidak banyak sokong beliau,” kata Timbalan Pengerusi Tetap Umno Libaran, Ali Haji Otoh kepada Malaysia Decides.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai kempen BN yang mendakwa Shafie tidak mampu mendapat sokongan pengundi Suluk di Sandakan.

Terdapat tiga kawasan parlimen di Sandakan, Libaran, Sandakan dan Batu Sapi. Pengundi keturunan Sulu membentuk majoriti di Libaran dan sesetengahnya di Batu Sapi. Pengundi Suluk juga membentuk majoriti di bahagian Silam, yang meliputi kawasan parlimen Kunak dan Lahad Datu. 

Bagaimanapun pemimpin jentera kempen berpendapat, dakwaan BN itu meleset kerana mereka percaya semua kaum termasuk Suluk yang sebahagian besarnya tertumpu di kawasan pantai timur Sabah itu masih kuat menyokong Shafie.

Mereka juga percaya, masyarakat Suluk di Lahad Datu menganggap pengerusi Warisan itu mempunyai darah keturunan Bajau-Suluk dan tokoh yang mampu mencabar penguasaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Cawangan Kampung Telisai, Lahad Datu Warisan Roslan Castaweda menolak kempen BN itu sebagai propaganda politik kerana membangkitkan isu kaum.

“Ini isu perkauman. (BN) tidak peduli perpaduan rakyat Sabah itu sendiri. Yang timbulkan provokasi (adalah) BN itu sendiri. Kita boleh tengok sambutan semua kaum, pelbagai agama dan etnik menyambut Warisan,” kata Roslan ketika ditemui Malaysia Decides di Lahad Datu.

Mengulas mengenai kekuatan sokongan ke atas Shafie di peringkat akar umbi Warisan, Roslan berkata kalangan pemimpin cawangan parti itu juga terdiri dari bekas orang Umno yang mahukan perubahan dan bukannya setia secara membuta tuli kepada parti.

“Sebab itu sekarang ini nampak ada U-turn (di kalangan orang Umno untuk menyokong Warisan) itu,” kata Roslan.

Di Lahad Datu, kempen Warisan turut diperkuat dengan kemunculan Muhammad Sarangit, bekas ahli jawatankuasa Umno Silam yang juga penceramah motivasi terkenal di daerah Lahad Datu dan Kunak.

Dalam siri ceramahnya, Muhamad yang juga pengerusi Perkasa bahagian Silam itu akan menggunakan pentas itu untuk menyerang calon BN, Nasrun Mansur yang menurutnya tidak berkhidmat untuk rakyat di situ.

Ketika berucap di atas pentas, beliau juga akan mempamerkan gimik dengan menyalin baju Umno yang dipakainya dengan baju parti Warisan.

Sementara itu calon DUN Tungku bagi Warisan Assaffal Alian pula berkata beliau yakin dengan peluang Warisan di kesemua DUN di bahagian Silam itu.

“Sambutan di sini amat baik. Ramai orang kampung berbilang bangsa menyokong kami dengan penuh semangat,” kata beliau.

Warisan bertanding di 45 daripada 60 kerusi DUN di Sabah yang sebahagian besarnya merupakan kawasan majoriti Muslim dan Kadazandusun Murut. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen