AKHBAR dan agensi berita antarabangsa meramalkan Barisan Nasional (BN) bakal menempuh jalan sukar untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Walaupun laman berita asing meramalkan kemenangan berpihak kepada perdana menteri sementara Najib Razak, kebanyakan daripada mereka percaya yang pilihan raya kali ini akan menjadi medan paling sengit dalam sejarah Malaysia.
Bloomberg melaporkan bahawa pasaran kewangan di seluruh dunia dalam “kesepakatan besar” bahawa BN akan menikmati kemenangan hebat, namun berkata terdapat petanda dalam kalangan akar umbi sejak beberapa hari ini yang membuktikan bahawa ramalan itu salah.
Laporan itu menyatakan bekas mentor Najib, Dr Mahathir Mohamad memberikan saingan sengit terhadap beliau, individu yang diharapkan dapar merampas undi Melayu daripada BN.
Ketakutan BN terserlah menerusi tindakan kerajaan menyekat suara parti dan ahli politik yang mengkritik mereka, kata laporan itu lagi.
“Langkah terbaru pentadbiran Najib menunjukkan terdapat kebimbangan dari pihaknya,” tulis Bloomberg.
“Minggu lepas, pihak berkuasa memperkenalkan undang-undang untuk memenjarakan pesalah yang didapati menyebarkan berita palsu, yang dianggap pengkritik sebagai percubaan untuk menyenyap pihak lawan.
“Parti Mahathir digantung sementara daripada berkempen dan kerajaan telah melukis semula persempadanan kawasan pilihan raya, suatu amalan yang dianggap wakil rakyat pembangkang sebagai menguntungkan gabungan pemerintah.”
Rencana daripada CNN pula mengambarkan PRU14 sebagai “momen paling penting dalam sejarah 61 tahun negara”, menambah yang keputusan pilihan raya kali ini akan menjadi referendum terhadap kepimpinan Najib.
“Sekalipun Barisan Nasional (BN) menang, prestasi buruk dalam pilihan raya akan memperlihatkan cabaran terhadap kepimpinan Najib dari dalam partinya sendiri.
“Kekalahan pilihan raya akan menjadi lebih buruk dan pasti akan mengakhiri kerjayanya selaku perdana menteri, pemimpin BN malah kemungkinan besar sebagai ahli politik.”
Agensi berita Britain Reuters menyatakan bahawa walaupun terdapat sedikit keraguan bahawa BN akan menang dalam pemilihan akan datang, gabungan itu mungkin akan mendapat keputusan lebih buruk berbanding pada 2013, di mana mereka berjaya mengekalkan kuasa meskipun kalah undi popular.
“Momentum kini berada di pihak pembangkang, tetapi kami percaya yang ia tidak akan memberikan kemenangan mengejut,” kata jururunding Eurasia Group, yang meletakkan kemungkinan kemenangan Pakatan Harapan pada 15%.
BN memerintah selama 51 tahun, menjadkikan ia sebagai gabungan paling lama memerintah dalam dunia demokratik.– 7 Mei, 2018.
Komen