KETUA Menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng menafikan dakwaan Barisan Nasional (BN) bahawa kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan sebuah sekolah antarabangsa di atas sebidang tanah yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah Cina di Sungai Pinang.
Lim berkata tiada sebarang kelulusan pun diberi untuk sekolah Cina terbabit.
Setiausaha Agung DAP itu berkata Ketua BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow sengaja memainkan sentimen perkauman melalui dakwaan tersebut.
“Teng kata kerajaan negeri telah meluluskan pembinaan sekolah antarabangsa itu di atas sebidang tanah di Sungai Pinang, di mana Kementerian Pendidikan merancang untuk membina sebuah sekolah rendah Cina.
“Kami tak tahu menahu tentang rancangan membina sekolah Cina. Kementerian Pendidikan meluluskan 10 sekolah rendah Cina pada tahun lepas tetapi tak ada satu pun di Pulau Pinang,” beliau memberitahu wartawan di Batu Kawan hari ini.
Beliau berada di Batu Kawan bagi upacara menyerahkan kunci kepada pembeli rumah projek perumahan mampu milik Suria 1 di Bandar Cassia.
Lim berkata sekiranya pembinaan sebuah sekolah Cina diluluskan oleh Kementerian Pendidikan di Pulau Pinang, perkara itu pasti akan dihebohkan oleh MCA dan Gerakan.
“Kami pun tak akan membantah. Tetapi tak ada sekolah Cina baru yang diluluskan di Pulau Pinag.
“Saya harap BN tidak menipu. Kalau mereka hendak menipu, mereka patut buat dengan cara yang lebih bijak,” katanya. – 7 Mei, 2018.
Komen