16 maut akibat rabies di Sarawak setakat tahun ini


Desmond Davidson

Kes terbaharu rabies melibatkan seorang wanita di Kuching, yang disyaki dijangkiti daripada kucing peliharaannya. – Gambar EPA, 14 Disember 2023.

SEJUMLAH 16 daripada 18 kes rabies yang dilaporkan di Sarawak tahun ini meninggal dunia, kata Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Ooi Choo Huck, hari ini.

Kes terbaharu akibat wabak yang bermula pada 2017 ialah seorang wanita di Kuching berusia 44 tahun yang mempunyai enam ekor kucing peliharaan.

Ooi berkata wanita itu mula menunjukkan simptom pada 28 November dan meninggal dunia Selasa lalu.

Sampel klinikal yang diuji mengesahkan beliau dijangkiti rabies, katanya.

Sebanyak 6 ekor kucing peliharaan wanita itu dilaporkan “bercampur bebas dengan haiwan liar” dan kesemuanya tidak pernah diberi vaksin rabies, tambahnya.

Ooi berkata walaupun wanita itu menafikan sejarah gigitan haiwan tetapi daripada pemerhatian klinikal, beliau mempunyai kesan calar dan luka lama.

Beliau berkata wanita itu juga tidak pernah menerima rawatan atau suntikan rabies di mana-mana fasiliti kesihatan bagi calar dan luka.

Sibu mencatatkan jumlah kes rabies paling banyak dalam tempoh 1 Januari hingga 13 Disember dengan lima kes dilaporkan.

Seterusnya ialah Serian dan Kuching yang masing-masing mempunyai empat kes, Bintulu (3) dan Samarahan (2).

Sebagai perbandingan, hanya 14 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas - peningkatan sebanyak empat kes atau 28.6% .

Sejak wabak pada Julai 2017, jumlah kes dilaporkan ialah 73 dengan 66 kematian.

Ooi berkata dengan peningkatan kes dalam kalangan manusia dan haiwan termasuk anjing dan kucing, penduduk Sarawak sekali lagi diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelak dijangkiti.

Beliau berkata jika mereka digigit atau dicakar oleh haiwan, atau jika mata, mulut, hidung dan kulit mereka menunjukkan keadaan keradangan selepas terdedah kepada air liur haiwan, mereka mesti mendapatkan rawatan segera selepas gigitan di klinik berhampiran.

“Vaksin anti-rabies boleh didapati di 130 klinik selepas gigitan di fasiliti kesihatan awam dan di 29 fasiliti swasta di seluruh negeri.

“Sebanyak 11 hospital juga menyediakan perkhidmatan suntikan imunoglobulin rabies (RIG) untuk kes berisiko tinggi,” tambah Ooi. – 14 Disember 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen