BARISAN Nasional tidak sepatutnya menggunakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk memperlekeh rakyat, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Katanya, pemangku kerajaan persekutuan sepatutnya membuktikan bagaimana bantuan tunai yang dimulakan setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2013 itu berkesan dalam mengeluarkan rakyat daripada kancah kemiskinan.
“Sejauh mana berkesannya BR1M- tindakan populis yang diambil BN- untuk meningkatkan rakyat ke atas garis kemiskinan?
“Berdasarkan prestasi dan dasarnya sejak 2013, kerajaan perlu jelaskan,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman, Pulau Pinang hari ini.
Nurul Izzah yang bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh mengulas kenyataan pemangku Timbalan Menteri Kewangan Othman Aziz dilaporkan Bernama semalam yang BR1M berkesan dalam membantu kumpulan B40.
Kumpulan B40 merujuk kepada isi rumah Malaysia yang berpendapatan RM3,900 dan ke bawah sebulan.
Othman yang mengkritik anak lelaki Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, Mokhzani Mahathir mengatakan yang kerajaan membantu kumpulan B40 dan “salah satu cara berkesan sehingga sekarang adalah BR1M”.
Mokhzani, salah seorang individu terkaya di Malaysia baru-baru berkata yang tidak wujud rasa bangga kerana menerima BR1M. Kenyataan itu mengundang kecaman ahli politik BN termasuk Najib Razak.
Nurul Izzah menambah yang walaupun tidak dapat dinafikan rakyat gembira menerima BR1M, inisiatif itu sahaja bukanlah langkah yang bijak.
“Saya kesal dengan kenyataan Othman. Bagi saya, ia bukan kenyataan yang tepat. Bunyinya macam kumpulan B40 perlukan belas ehsan kerajaan untuk hidup.
“BR1M adalah duit rakyat dan sudah jadi tanggungjawab kerajaan membantu mereka yang terjejas (dengan peningkatan kos sara hidup),” katanya.
Nurul Izzah turut memetic kajian kemiskinan dilakukan Profesor Fatimah Kari dari Universiti Malaya. Menurut kajian itu, rasionalisasi subsidi kerajaan BN adalah salah satu punca mengapa ramai rakyat Malaysia termasuk dalam kategori B40.
Menurut laporan media, kerajaan persekutuan menjimatkan hampir RM20 juta hasil rasionalisasi subsidi.
“Kerajaan perlu bertanggungjawab. Dasarnya menyebabkan inflasi naik daripada 1.6% pada 2012 kepada purata 4% tahun lepas,” kata Nurul Izzah lagi.
“Penerima BR1M pula meningkat sejak inisiatif itu pertama kali diperkenalkan pada 2012. Ia berjumlah 7.2 juta orang tahun ini, iaitu 25% daripada populasi keseluruhan negara.
“Kos membayar BR1M adalah RM 7 bilion, dan anda masih perlu memikirkan lagi kos lain untuk jaringan keselamatan sosial lain seperti bantuan makanan dan pendidikan serta infrastruktur.”
Katanya, jika Pakatan Harapan berjaya merampas Putrajaya, ia akan memperkenalkan inisiatif yang memperkasakan kumpulan B40 seperti dasar diperkenalkan di inisiatif “Peduli Rakyat” Selangor dan tidak hanya bergantung kepada bantuan wang tunai. – 7 Mei, 2018.
Komen