Tiada kemenangan besar dalam PRU14 di Sabah, kata kumpulan pemikir


The Malaysian Insight

SENARIO politik di Sabah akan menyaksikan tiada kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata kumpulan pemikir di negeri itu.

Pengerusi Progressive Institute of Public Policy Analysis Sabah (PIPPA), Amde Sidek berkata Parti Warisan Sabah boleh menang besar, tetapi tidak dapat membentuk kerajaan dengan secara sendirian.

Menurut Amde, Warisan masih kurang mendapat sokongan dari KadazanDusun Murut Rungus  (KDMR) yang dikuasai oleh Gabungan Sabah (USA).

“Walaupun BN masih boleh mengawal Pantai Timur, kawasan lain di pedalaman dan Pantai Barat, BN mungkin tidak mampu menang banyak kerusi seperti yang berlaku pada PRU13.

“Manakala, Warisan juga tidak akan menang kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan secara sendirian.

“Mereka mungkin akan menang banyak kerusi di Pantai Timur berbanding pembangkang lain, tetapi di kawasan lain ia akan bertembung dengan USA yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan pedalaman,” katanya.

Terdapat tiga gabungan utama di Sabah iaitu BN, USA dan Warisan-Pakatan Harapan (PH). KDMR memegang 22 kerusi, yang kebanyakannya tertumpu di Pantai Barat dan kawasan pedalaman.

Amde, yang juga Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata masyarakat KDMR bimbang Presiden Warisan Shafie Apdal yang akan menyebabkan lebih ramai orang Suluk dari Selatan Filipina masuk ke Sabah disebabkan keturunannya.

Shafie, berketurunan Bajau, dan ketika ini dianggarkan lebih dari sejuta penempatan Suluk di Sabah, kata Amde.

“Malah, tuduhan bahawa bekas timbalan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terlibat dalam kebanjiran pendatang asing tanpa izin adalah benar berdasarkan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin.

“Malangnya, selepas enam tahun RCI itu ditubuhkan, hasil siasatan itu tidak didedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata isu kehadiran pendatang asing ini yang diberi taraf kerakyatan, akan menyebabkan penyokong Shafie marah, sambil menambah ia merupakan rahsia terbuka bahawa pendatang-pendatang ini menyumbang kepada kemenangan dalam semua pilihan raya ketika Shafie masih di dalam Umno.

Jika Shafie berkuasa, katanya, akan lebih menyebabkan masyarakat Suluk menganggap mereka memiliki Sabah, berdasarkan kepada tuntutan Sulu ke atas negeri itu.

“Jika ini berlaku, Warisan merupakan parti baru dengan ramai muka baru yang ahli-ahlinya mempunyai sejarah melompat dari satu parti ke parti lain. Mungkin akan ada ahli-ahlinya yang akan keluar parti dan masuk parti yang lebih dominan dan stabil seperti pakatan USA,” katanya. 

USA terdiri daripada Parti Pembaharuan Negeri Sabah (Star) yang diketuai oleh Adun Bingkor Dr Jeffrey Kitingan, Parti Harapan Rakyat Sabah (diketuai oleh Adun Klias Lajim Ukin), SAPP (Yong Teck Lee) dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) (Mohd Arshad Abdul Maulap).

Bagaimanapun, Amde berkata sekiranya ini berlaku, rakyat Sabah mungkin tidak akan protes di jalanan seperti yang mereka lakukan apabila Berjaya mengalahkan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) pada 1976 dan ketika Parti Bersatu Sabah (PBS) mengalahkan Berjaya pada 1985.

Beliu berkata, mengikut sejarah, senario politik Sabah sentiasa terkawal jika dibandingkan dengan di Semenanjung.

“Hanya baru-baru ini Sabah mula mencorakkan suasana politiknya selepas Semenanjung, yang dibawa masuk oleh DAP.

“Hanya DAP yang mengemabil pendekatan ini, dan inilah sebabnya mengapa masih jauh lagi untuk ia diterima, terutamanya di kawasan luar bandar.”

Malah ketika kebangkitan serta kejatuhan kerajaan negeri Berjaya dan PBS, rakyat Sabah yang mengadakan protes di jalanan dipengaruhi oleh “pemimpin Persekutuan”, katanya.

Memetik kejadian rusuhan kaum pada 1986, Amde berkata ahli politik mencetus perasaan tidak puas hati terhadap keputusan pilihan raya bertukar menjadi isu kaum. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen