Pengundi mahu Azmin kekal di Gombak


The Malaysian Insight

PERTANDINGAN tiga penjuru atau tidak, pengundi di kerusi parlimen Gombak berkata undi mereka akan tetap diberi kepada menteri besar sementara Selangor Mohamed Azmin Ali.

Mereka yang ditemui Malaysia Decides di ceramah Pakatan Harapan (PH) di Lembah Klang malam tadi berkata tiada alasan bagi mereka untuk menukar ahli Parlimen lain kerana rekod Azmin yang baik sepanjang beliau berkhidmat di kawasannya.

Rata-rata berkata undi untuk Azmin akan menggambarkan kemarahan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Rakyat mahukan perubahan (dalam kerajaan Persekutuan). Azmin akan kekalkan kerusinya sebab rakyat tahu apa yang berlaku,” kata pengundi Gombak, Alex.

Alex, yang sudah 30 tahun menetap di Hulu Kelang berkata tindakan PAS keluar dari pakatan pembangkang tidak memberi sebarang kesan terhadap undi.

“Walaupun kebanyakan pengundi di sini Melayu, mereka tak akan undi PAS sebab mereka yakin dengan Azmin,” kata penulis berusia 56 tahun itu.

Azmin akan bertembung calon PAS Khairil Nizam Khirudin dan Abd Rahim Kamarudian dari BN.

Timbalan Presiden PKR itu kali pertama menang kerusi Gombak pada 2008, menewaskan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 6,867 undi.

Azmin menang sekali lagi pada pilihan raya 2013 dengan majoriti 4,734 undi. Beliau akan cuba mempertahankan kerusi yang mempunyai 141,112 pengundi itu bagi penggal ketiga.

Bagi Omar Salim, 53, beliau dapat melihat perbezaan yang dibawa oleh Azmin di kawasan itu, berbanding semasa dipegang oleh ahli parlimen BN sebelum 2008.

“Beliau selalu tolong rakyat walaupun berbeza pandangan politik dan rakyat saksikannya sendiri.

“Walaupun persempadanan semula dilaksanakan, saya masih rasa Azmin boleh menang kerana beberapa penyokong PAS yang saya jumpa, nak undi Azmin,” kata Omar.

Seorang lagi penduduk di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Harun, 70, berkata Azmin akak mengekalkan kerusi Gombak kerana banyak yang telah dilakukan timbalan presiden PKR itu kepada penduduk seperti menyediakan bekalan air percuma.

“Kalau bukan kerana Azmin, kami tak dapat (air percuma). Satu persatu masalah rakyat beliau selesaikan,” katanya.

Menurut Azmin, sokongan pengundi Melayu tidak akan beralih kepada PAS kerana mereka tahu PAS hanya bertanding di kerusi Parlimen Gomak hanya untuk memecah undi pembangkang.

“Kita tahu matlamat PAS bukan untuk menang. Jadi, mereka tidak akan memberi kesan kepada undi seperti yang mereka fikir,” kata Azmin. – 7 Mei, 2018.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen