40 tahun berlalu, pengundi Libaran masih tunggu BN bina jalan


The Malaysian Insight

KAMPUNG Sungai Beruang hanya terletak kira-kira 40km dari Sandakan, bandar kedua terbesar di Sabah. Namun untuk sampai ke jalan utama yang berturap, penduduk di sini masih terpaksa menggunakan jalan batu kerikil sejauh 15 kilometer.

Mereka terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke jalan besar berturap di Dandulit itu. Penduduk yang menggunakan kereta penumpang biasa akan menanggung kos lebih tinggi kenderaan itu akan mengalami banyak kerosakan.

“Biasanya saya tukar tayar atau drive shaft beberapa bulan sekali kerana keadaan jalan yang teruk. Kalau hujan lebih teruk lagi,” kata Mahan Jalil yang ditemui di sebuah bengkel kereta kawasan itu.

Tinjauan Malaysia Decides ke atas beberapa orang pengundi lain di kawasan itu mendapati, penduduk berkenaan telah mengadu hal yang sama sejak 40 tahun lalu. Mereka mahu jalan sejauh 15 kilometer itu diturap.

Namun menurut pengundi ini, tuntutan pembangunan dan infrastruktur inilah juga yang menyebabkan mereka mahu terus memilih BN dalam pilihan raya ini.

Dandulit terletak di pinggir kawasan DUN Sungai Sibuga, kerusi yang disandang oleh ketua menteri sementara, Musa Aman. Ia termasuk dalam kawasan parlimen Libaran, yang juga kubu kuat BN.

Penduduk Kampung Sungai Beruang, Amisrinah Ali Karar berkata parti Warisan telahpun berkempen mengenai hal jalan itu sejak beberapa bulan lalu namun ia tidak memberi kesan sangat kepada penduduk.

Menurutnya, Musa pada bulan lalu telahpun berjanji untuk membina jalan sejauh 20 kilometer secara berperingkat-peringkat dengan nama Jalan Pintas Sungai Buaya.

“Kalau sini sokongan kepada BN macam PRU13 juga. Mungkin disebabkan bantuan kerajaan kepada pengundi di sinilah mereka masih sokong BN.

Bagi penduduk veteran, Aspar Otoh, berkata penduduk di situ mengharapkan kerajan persekutuan untuk membina jalan luar bandar serta menanti-nanti projek mega Lebuh Raya Pan-Borneo. Beliau juga melihat banyak perkara tidak kena pada Warisan, parti pencabar BN.

“Banyak perkara yang kita lihat tidak kena. Satu daripadanya, Warisan dan pembangkang ini berkata mereka (mahu Sabah ditadbir oleh orang Sabah) secara sendirian sedangkan kita memerlukan persekutuan,” kata beliau.

Aspar yakin bahawa kerjasama Kerajaan Persekutuan dan negeri bawah BN mampu menjamin hidup mereka lebih baik daripada pembangkang. Beliau memberi contoh, peristiwa pencerobohan 200 militan Filipina di Tanduo pada 2013 ketika.

“Satu contoh, (kes di) Tanduo, kalau bukan kerana Persekutuan kita tidak boleh menang dan berjaya menjaga keselamatan.

Penyandang kerusi parlimen Libaran, Juslie Ajirol pula berkata, kisah di Kampung Sungai Beruang ini hanya akan menjadi lebih terpencil kerana ia diselesaikan secara berperingkat sejak 1990-an.

Beliau yang menyandang kerusi Libaran sejak 1999 berkata penduduk itu sedar bahawa BN hanya dapat menyelesaikan masalah asas seperti tenaga dan jalan raya mengikut kemampuan peruntukan kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Sejak 1990-an, kalau jalan raya kita dah berjaya sambungkan lebih kurang 90 peratus, air dan elektrik sudah 90 peratus,” katanya yang yakin sokongan di Libaran akan kekal pada BN. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen