RAKYAT Malaysia sudah tidak takut dengan perdana menteri sementara Najib Razak dan mahukan perubahan, kata Dr Mahathir malam tadi.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) diselubungi masalah dan rakyat telah banyak “menderita” sehingga tidak lagi tertipu dengan sebarang ancaman.
“Najib cuba takutkan rakyat, tetapi rakyat tidak takut. Rakyat boleh didera, mereka boleh dikenakan bayaran cukai lebih, GST, tetapi rakyat berani mencabar Najib dan kerajaannya,” kata Dr Mahathir pada ceramah di Hulu Kelang, Selangor.
“Inilah sebabnya kita sanggup keluar beramai-ramai. Hujan, panas, tak kira… untuk menyatakan hasrat kita untuk menjatuhkan kerajaan Najib.”
“Kerana kali ini parti pembangkang bersatu padu dan mengemblengkan seluruh tenaga dan disokong oleh begitu ramai rakyat bahawa kemungkinan Najib jatuh memang boleh dipercayai.”
Beliau berkata ribuan rakyat yang datang ke ceramah-ceramah PH di Melaka, Pahang dan Kedah menunjukkan betapa besarnya hasrat rakyat untuk menukar kerajaan.
Ceramah malam tadi merupakan ceramah terakhir Dr Mahathir di Lembah Klang dalam siri jelajah beliau di seluruh negara dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Lebih 5,000 hadir malam tadi tanpa mengira padang yang becak dan basah disimbahi hujan.
Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu percaya kerajaan BN lebih menakutkan jika dibandingkan dengan kerajaan semasa pemerintahan beliau.
“Dulu kita lihat parti pembangkang berjuang tetapi harapan untuk jatuhkan kerajaan tipis, kerana kerajaan Barisan Nasional terlalu kuat.
“Dan pada masa itu juga rakyat berpendapat bahawa tak banyak yang boleh dilakukan parti lawan kalaupun mereka menjadi kerajaan.
“Tetapi kali ini kita punyai harapan untuk menumbangkan kerajaan.”
Dr Mahathir berkata, berdasarkan kepada kajian beliau sendiri, Najib boleh didakwa di mahkamah dengan lebih daripada 60 kesalahan.
Perhimpunan malam tadi turut menyaksikan pemimpin-pemimpin utama PH termasuk Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah bersama-sama bekas menteri Daim Zainuddin serta Rafidah Aziz berada di pentas yang sama, memberi sokongan kepada pembangkang.
Mereka berucap sebagai tanda sokongan kepada menteri besar sementara Selangor Mohamed Azmin Ali yang akan bertanding di kerusi parlimen Gombak. – 7 Mei, 2018.
Komen