KURANG 48 jam hari pengundian, calon PKR Fahmi Fadzil menggesa pengundi kawasan Lembah Pantai untuk memberikan sokongan kepadanya untuk menewaskan Barisan Nasional yang paling lama memerintah sebuah negara demokrasi di dunia.
Menggunakan kisah budak lelaki David yang membunuh gergasi dikenali sebagai Goliath dengan lastik dan peluru, Fahmi berkata rakyat juga boleh menumpaskan BN dengan memberikan undi mereka kepada calon Pakatan Harapan.
“Pada mulanya saya rasa saya David. Tapi sebenarnya tidak.
“Selepas sembilan hari berkempen, mendengar suara orang Bangsar, di Pantai Dalam, di Sentosa…turun naik tangga flat, keluar masuk lif, malah terperangkap dalam lif!...
“Saya sedar saya bukan David. Tuan puan adalah David.
“Saya hanyalah batu. Tetapi saya batu anda! Dan bersama-sama, kita boleh kalahkan Goliath!” kata pemimpin berusia 37 tahun yang juga pengarah komunikasi PKR itu.
Beliau turut memberitahu hadirin yang pesaingnya, calon BN yang juga bekas menteri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin merendahkan peluangnya selaku calon pilihan raya kali pertama.
“Mereka pernah ingat saya ini anak kucing. Kerana itu mereka benarkan saya bertanding di Lembah Pantai. Jika saya Tian Chua, pastinya saya dah kena.
“Tetapi sekarang, saya rasa mereka dah dengar saya mengaum!” katanya kepada hampir 1,000 orang penyokong yang berkumpul di luar restoran Bala’s Banana Leaf di Bangsar.
Kawasan kejiranan mewah Bangsar adalah dalam Parlimen Lembah Pantai.
Pada pilihan raya umum lepas, Nurul Izzah Anwar mengalahkan Nong Chik dalam pertandingan bersemuka untuk merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai.
Tetapi, pada PRU14, Nurul Izzah bertanding ke Permatang Pauh. – 7 Mei, 2018.
Komen