Prabakaran kunci kejayaan Pakatan di Batu


The Malaysian Insight

CALON PRU14 paling muda, P. Prabakaran, 22 tahun menerima sokongan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan malam tadi sebagai calon pilihan kerusi Parlimen Batu.

Di Taman Datuk Senu, Sentul, Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan pelajar undang-undang itu sebagai “kunci kejayaan PH” merujuk kepada logo yang digunakan calon bebas itu.

“Batu, tunjukkan sokongan anda kepada PKR, perlu sokong Prabakaran kerana dia calon kunci kita.

“Pilih kunci, kunci kepada kejayaan kita, supaya kita boleh menang di Batu (dan kita akan menang) di Permatang Pauh, Pandan, Langkawi dan semua kerusi Parlimen supaya boleh tukar kerajaan,” kata Dr Wan Azizah yang juga merupakan presiden PKR kepada khalayak yang membanjiri ceramah itu.

Serta merta selepas ceramah di Sentul, Prabakaran dibawa ke Hulu Langat di mana Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad sedang berkempen bersama-sama penyandang Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Melihat bekas ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua naik ke pentas bersama-sama Prabakaran, Dr Mahathir menghentikan ucapannya untuk mengalu-alukan mereka berdua.

“Ini adalah calon kita untuk Batu,” kata Dr Mahathir sebelum mengangkat tangan Prabakaran disambut sorakan lebih 5,000 yang hadir.

PH menyokong Prabakaran dalam pertandingan empat penjuru selepas calon asal mereka, Tian Chua hilang kelayakan bertanding kerana denda RM2,000 oleh mahkamah kerana kesalahan menghina anggota polis.

Tian Chua sudah memfailkan cabaran perundangan tetapi ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memintanya memfailkan petisyen pilihan raya selepas tamat PRU14.

Di Sentul sebelum itu, Prabakaran yang nampak gugup berucap di atas pentas mengimbau kembali pengalaman peribadinya tentang peningkatan kos sara hidup.

“Saya tak suka membeli belah dengan emak saya kerana setiap kali dia akan kata barang ini dulu RM5 sekarang dah jadi RM10.

“Saya sedar ibu bapa saya bekerja keras setiap hari, tetapi ke mana duit mereka?” katanya yang walaupun nampak gugup masih disambut hebat hadirin.

Beliau menambah yang anak muda Malaysia memilih untuk tidak tinggal di negara ini kerana kerajaan Barisan Nasional seterusnya menyebabkan masalah kekurangan bakat negara.

“Mereka tahu bekerja di Malaysia tidak ada masa depan, bukan kerana mereka benci Malaysia tetapi kerana mereka tak suka kerajaan Malaysia,” katanya.

Prabakaran juga merayu anak muda yang tidak mendaftar mengundi, mengatakan dia bersetuju menerima sokongan PH sebagai satu cara mewujudkan kesedaran dan menggalakkan anak muda terlibat dalam proses pembinaan bangsa dan negara.

“Jadi saya kongsi kunci saya dengan Pakatan untuk buka laluan ke Putrajaya,” katanya.

Batu mempunyai 76,328 pengundi, 42.52% (Melayu), Cina (38.28%) dan India (17.46%). – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen