PEMIMPIN PAS mengkritik tindakan Dr Mahathir Mohamad yang cuba melawat kubur pemimpin parti itu yang disayangi ramai, Nik Aziz Nik Mat, mempersoalkan sama ada ia tindakan mengambil kesempatan sempena pilihan raya umum.
Mereka turut mempersoalkan motif Dr Mahathir, memandangkan calon perdana menteri Pakatan Harapan itu sebelum ini merupakan pengkritik paling lantang Nik Aziz.
“Bila Tok Guru (Nik Aziz) masih hidup, dia selalu serang Tok Guru di televisyen,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Bachok malam tadi.
“Sekarang bila Tok Guru tak ada, dia puji,” kata Hadi merujuk kepada Dr Mahathir.
Dr Mahathir seringkali bertembung pendapat dengan Nik Aziz sepanjang menjadi perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional selama 22 tahun.
Serangan politik BN ke atas Nik Aziz dan PAS bertambah hebat apabila parti Islam itu berjaya menakluk Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1990.
PAS mengkritik Dr Mahathir kerana menahan dana persekutuan untuk Kelantan sejak PAS memerintah.
Semalam, Dr Mahathir cuba melawat kubur Nik Aziz di Pulau Melaka. Tetapi anak lelaki ketiga Nik Aziz, Nik Adli mengunci kubur itu seterusnya menghalang lawatan Dr Mahathir.
Ketua Bahagian PAS Bachok Zamri Zahari berkata Dr Mahathir mempunyai banyak masa untuk melawat kubur Nik Aziz kerana tokoh itu sudah meninggal dunia pada 2015.
“Jadi mengapa dia pilih untuk datang dua tiga hari sebelum mengundi? Sebelum ini dia tak pernah datang pun,” kata Zamri dalam ucapannya.
“Kita tak persoal hak dia untuk datang tetapi mengapa sekarang?
“(Kerana) ia macam taktik untuk tipu rakyat,” katanya.
PAS berdepan cabaran getir mempertahankan Kelantan menentang BN dan PH pada pilihan raya kali ini. – 7 Mei, 2018.
Komen