Pakatan raih sokongan rakyat untuk Dr Mahathir sebagai PM ke-7


The Malaysian Insight

DUA hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) menurunkan pemimpin-pemimpin tertinggi mereka ke Selangor untuk mendapatkan sokongan ribuan rakyat kepada calon perdana menteri ketujuh mereka, Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu kelihatan tergamam dan mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya apabila orang ramai menjeritkan “hidup Tun” ketika tiba ke tempat program.

Lebih ironi lagi apabila Menteri Besar Sementara Selangor Mohamed Azmin Ali yang merupakan orang kanan Anwar Ibrahim yang dipecat Dr Mahathir pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan mengetuai orang ramai menjeritkan slogan itu.

Azmin turut mengarahkan orang ramai untuk menghidupkan lampu telefon bimbit mereka untuk menyambut kehadiran Dr Mahathir ke program “Malam Semarak Tsunami Rakyat” yang didakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Klang di bawah Parlimen Gombak.

“Tuan-tuan, 20 tahun yang lalu, pada tahun 1999 ketika saya kali pertama menyertai pilihan raya umum, di padang inilah jugak, Tun Dr Mahathir datang sebagai perdana menteri, tetapi ketika itu, dia nak lawan saya di Hulu Klang.

“Itu 1999, tetapi 20 tahun kemudian, Tun datang untuk menyokong saya dan Pakatan Harapan, terima kasih Tun,” kata Azmin di hadapan lebih 5000 orang hadirin.

Pada Pilihan Raya Umum 1999, Azmin bertanding buat pertama kalinya dalam pilihan raya mewakili Parti Keadilan Nasional (PKN) yang ditubuhkan untuk melawan Dr Mahathir dan berjaya memenangi kerusi tersebut.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata, PH menurunkan tokoh-tokoh besar di kawasan tersebut sebagai usaha mempertahankan Selangor yang diperintah sejak 2008 daripada jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) disebabkan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 selepas PAS membuat keputusan untuk bersendirian.

“Ini untuk meminimakan undi pecahan yang PAS boleh ambil dalam pertembungan tiga penjuru.

“Ia juga untuk pertahankan kemenangan daripada terlepas dari genggaman PH,” katanya kepada Malaysia Decides.

Walaupun padang becak akibat hujan lebat pada awal program dan renyai semasa program orang ramai tidak berganjak untuk mendengar sendiri ucapan daripada pemimpin-pemimpin tertinggi PH.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah dua bekas pemimpin veteran Umno yang baru sahaja dipecat Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz.

Semasa program, terdapat juga lintas langsung ucapan pemimpin luar daripada Kuala Lumpur seperti Mahfuz Omar dari Kedah, Syed Saadiq Abdul Rahman dari Johor dan Nurul Izzah Anwar dari Pulau Pinang.

Rafidah yang kini menjadi “bintang” baru dalam ceramah PH disorak dan beliau berjaya berinteraksi dengan baik bersama hadirin.

Hadirin turut bersorak apabila Daim naik ke pentas untuk memberikan ucapannya selain Sasterawan Negara A Samad Said yang turut membacakan puisi.

Dalam ucapannya, seperti di tempat-tempat lain, Dr Mahathir turut mengingatkan orang ramai agar keluar mengundi bagi memastikan PH mendapat majoriti besar supaya “BN tidak boleh melakukan penipuan”.

“Ramai yang ada ini bersama dengan ibu bapa, cucu cicit, adik, kakak, keluar beramai-ramai untuk mengundi Pakatan Harapan.

“Kita bukan sahaja nak menang, tapi nak menang besar,” katanya. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen