JANGAN sesekali lupa. Jika calon bebas Batu, P. Prabakaran tidak berpakat dengan Pakatan Harapan, beliau mungkin hilang depositnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ini adalah tanggapan umum pengundi Batu yang turun di ceramah Prabakaran yang pertama di Taman Datuk Senu, di Sentul malam tadi.
Mereka juga turut mengakui yang mereka menyokongnya kerana beliau mewakili pembangkang, PH.
“Saya di sini kerana undi untuk P.Prabakaran adalah undi untuk Pakatan Harapan. Saya tak kisah jika dia muda, selagi mana dia Pakatan,” kata Fatimah Mary S. Joseph, 41 tahun.
Hampir 1,500 orang di Batu mengharungi hujan untuk memberikan sokongan kepada pemuda berusia 22 tahun itu yang menentang calon Barisan Nasional, PAS dan calon bebas lain untuk dipilih menjadi ahli Parlimen Batu.
“Sebab saya buat begini (berdiri dalam hujan dan menyokong calon tak dikenali) adalah kerana sebelum ini saya undi BN tetapi mereka tak buat apa-apa, malah mereka beri banyak masalah lagi.
“Kerusi gerai suami saya banyak kali dirampas Dewan Bandaraya walaupun dia ada lesen sah. Bila kami pergi jumpa wakil BN, dia tak ada masa untuk kami,” kata Fatimah yang mengakui PH menerima undinya.
Seorang lagi pengundi, Chong Yin Foo pula tidak kisah jika Prabakaran menang di Batu kerana bekas wakil rakyat Batu, Chua Tian Chang sudah menyokongnya.
“Kami percayakan Tian Chua kerana dia berjuang untuk kami selama dua penggal dan kami percaya dia tidak silap pilih,” kata Chong yang tinggal di Sentul.
Wanita berusia 32 tahun itu yang datang dengan ibunya turut mengakui yang “kunci dapat undi saya” kerana dia memerlukan pilihan terbaik selepas Tian Chua tidak bertanding. Kunci adalah logo Prabakaran.
“Prabakaran adalah orang yang baik, tetapi dia perlu banyak belajar, kerana itu saya pilih dia kerana saya percaya PH boleh ajar dia untuk jadi pemimpin yang baik,” katanya.
Nur Ain Farisha, 25, berkata kawan-kawannya mendapat semangat kerana PH menyokong calon muda yang bertanding kali ini.
“Ada kawan saya yang datang bersama hari ini, berdiri bawah hujan untuk tunjukkan sokongan dan bila beg derma sampai, kami sumbang apa yang kami mampu.
“Kami beri apa sahaja yang kami ada untuk parti ini terus kekal,” katanya.
Tambahnya, Tian Chua adalah calon pilihannya sebelum ini tetapi Prabakaran akan mendapat undinya sekarang.
“Apa boleh buat? Saya gemarkan Tian Chua, dia baik, tetapi saya akan beri undi kepada Prabakaran,” katanya.
Prabakaran menjadi tumpuan ramai selepas ahli Parlimen dua penggal, Tian Chua hilang kelayakan bertanding pada PRU14 kerana denda RM2,000.
Batu mempunyai 76,328 undi, 42.52% adalah Melayu, Cina (38.28%) dan India (17.46%).
Pada PRU2013, Tian Chua menang dengan majoriti undi 13,284.
Pertandingan di Batu menjadi empat penjuru selepas Tian Chua hilang kelayakan, calon lain selain Prabakaran ialah Dominic Lau Chai Hoe (BN), Azhar Yahya (PAS) dan seorang lagi calon bebas, V. M Panjamothy. – 7 Mei, 2018.
Komen