BN akan terus menang di kerusi Melayu Pulau Pinang


The Malaysian Insight

BARISAN Nasional dijangka mengekalkan kerusi Parlimen dan negeri di kawasan Melayu di Pulau Pinang pada PRU14, kerana kekukuhan Umno di situ dan masalah jentera kempen Pakatan Harapan.

Penyelidik pilihan raya, Hisommuddin Bakar berkata Umno akan mengekalkan tiga kerusi Parlimen dimenanginya pada 2013- Balik Pulau, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Daripada 10 kerusi negeri dipegang BN pula, kebanyakannya jatuh dalam tiga kerusi Parlimen itu.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre itu mengatakan PH mempunyai masalah kempen di Balik Pulau kerana jentera kawasan itu berpindah mengikut Ketua Bahagian PKR Abdul Halim Hussain yang bertanding di Batu Maung.

Tetapi PH dijangka akan terus mengekalkan 29 kerusi negeri dan 10 kerusi Parlimen.

“Bakhtiar terpaksa bawa jentera dari luar,” kata Hisomuddun merujuk kepada calon PH Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik yang bertanding di situ buat kali kedua selepas kalah kepada Dr Hilmi Yahaya (BN) pada 2013 dengan majoriti undi 1,539.

Bakhtiar mengatakan beliau berharap kemarahan rakyat terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan janji BN yang tidak ditunaikan. Tetapi, realitinya beliau bukanlah calon yang kuat seperti Hilmi yang merupakan orang tempatan di situ.

Di dua kerusi Parlimen BN- Kepala Batas dan Tasek Gelugor- parti pemerintah akan terus berkuasa, kata Hisomuddin.

“Orang di sana akan terus mengundi parti (BN) walaupun mereka tak gembira,” katanya.

Kepala Batas dipegang oleh Reezal Merican Naina Merican yang menang pada 2013 dengan majoriti undi 4,176. Tasek Gelugor pula dipegang Shabudin Yahaya yang menang dengan majoriti undi 3,042.

Kedua-dua kerusi itu mendapat perhatian ramai apabila Pengerusi BN Najib Razak berkempen di sana Sabtu lepas. Beliau mengkritik PH dan berjanji meluluskan sejumlah peruntukan untuk projek infrastruktur di situ.

Janjinya meraih sokongan pengundi tempatan seperti Noraini Ahmad, 61, yang mengatakan dia berpuas hati dengan janji membina klinik kesihatan di Teluk Air Tawar, masjid baru di Sungai Dua dan parkir bertingkat di stesyen keretapi Permatang Berangan jika BN kekal di Putrajaya.

“BN akan terus jadi kerajaan. BN akan menang di Tasek Gelugor. Sebagai rakyat biasa, kami patut terima apa yang baik dan tolak yang buruk,” katanya.

Tetapi, pemimpin Bersatu di Pulau Pinang, Yaakob Osman menyifatkan lawatan Najib sebagai “permainan persepsi”.

“Dia datang dan ramai orang turun ke majlisnya. Ia nampak BN kuat di kerusi ini.

“Tetapi orang Melayu masih diam. Bila orang Melayu diam, BN bimbang,” kata ketua penerangan Bersatu negeri itu.

Yaakob merasakan GST, peningkatan kos sara hidup dan skandal melibatkan pentadbiran BN bakal menyebabkan peralihan undi.

Katanya lagi, Najib tidak akan melawat kawasan itu jika tidak wujud perubahan sokongan rakyat di sana. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen