IA satu tugas sukar untuk pembangkang menang di lebih banyak kerusi di Sarawak kerana negeri itu kini seolah terlindung daripada situasi semasa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.
Kerana itu, mereka tak punya desakan perubahan kerajaan yang sama seperti di Semenanjung, kata James Chin dari Tasmania University.
Kekurangan daya itu juga disebabkan oleh parti tempatan terutamanya Sarawak United People’s Party (SUPP) berjaya mengangkat diri mereka sebagai nasionalis Sarawak.
“Orang Sarawak tinggal dalam buih. Tiada apa yang berlaku di Semenanjung akan beri kesan kepada mereka,” kata Chin.
Chin yang rapat mengikuti perkembangan pilihan raya merasakan yang pembangkang akan menang di kerusi sama seperti pilihan raya lepas.
Katanya, ia mungkin akan kalah di beberapa kerusi tetapi ia akan ditampung dengan kemenangan di kerusi baharu.
DAP memegang lima kerusi bandar- Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang dan Sarikei sementara PKR berkuasa di Miri.
Pengerusi BN Negeri Abang Johari Openg memberikan gambaran keyakinan yang BN akan menang di 28 daripada 31 kerusi Parlimen di negeri itu.
Sebelum pembubaran Parlimen, empat parti komponen BN negeri memegang 25 kerusi, didahului dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang memegang 14 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dengan enam kerusi, Progressive Democratic Party (PDP) dengan empat kerusi dan Sarawak United People’s Party (SUPP) hanya satu kerusi.
Abang Johari yakin yang PBB, PRS dan PDP akan mengekalkan semua kerusi mereka, malah turut yakin parti terlemah, SUPP boleh merampas satu hingga dua kerusi daripada DAP.
Sumber parti memberitahu yang beliau yakin Sarikei, Sibu dan Miri boleh dirampas kembali BN.
Chin mengatakan DAP boleh hilang Sarikei disebabkan oleh “penyandang tidak popular” Wong Ling Biu, dan mereka juga boleh hilang Sibu kerana calon BN-SUPP di sana, Andrew Wong hanya perlukan “20% peralihan undi Cina untuk menang”.
Wong menang di kerusi Sarikei pada 2013 dengan hanya beza undi 505.
Chin berkata pertempuran paling dinanti antara Stampin antara Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi DAP dan PH negeri, Chong Chieng Jen akan memihak kepada Chong dengan “margin yang sangat tipis”.
Katanya, majoriti menang di kawasan 66,240 pengundi itu yang 64% adalah Cina boleh jadi antara “dua hingga dua ribu sahaja”.
Seorang lagi ketua parti yang boleh hilang kerusi adalah Pengerusi PKR negeri Baru Bian di kawasan majoriti Iban,Selangau, apabila PRS menggunakan kaumnya- Baru adalah kaum Lun Bawang dari Ba Kelalan- sebagai modal serangan.
PKR juga boleh hilang satu-satunya kerusinya di Sarawak iaitu Miri kerana laporan mendakwa pengundi bandar itu sudah bosan dengan ahli Parlimen mereka yang malas, Dr Michael Teo.
PKR bagaimanapun yakin yang kerusi Saratok dan Baram boleh jadi milik mereka dengan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Bahanruddin Mokshen berkata pengalaman PRU2013 digunakan sebaik mungkin untuk menang di situ.
Chong Chieng Jen bagaimanapun ketika diminta mengulas keyakinan Abang Johari berkata: “Biar rakyat menjawab soalan itu bagi pihak saya”. – 7 Mei, 2018.
Komen