Anwar sedia bincang hasrat Agong ke atas SPRM, Petronas


Perdana Menteri Anwar Ibrahim perkara itu boleh dibincangkan dengan baik dengan mempertahankan prinsip utama negara. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 13 Disember, 2023.

ANWAR Ibrahim sedia berbincang dengan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenaan hasrat agar agensi antirasuah dan Petronas melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana menteri dipetik portal Malaysia Gazette sebagai berkata, cadangan itu boleh dibincangkan dengan baik dengan mempertahankan prinsip utama negara.

“Ia (cadangan Sultan Ibrahim) tidak langsung akan menggugat kuasa dan peruntukan perlembagaan negara kita. Itu pandangan saya, saya diminta ulas kenyataan itu (titah Sultan Ibrahim).

“Saya jawab, kita boleh runding dengan baik tapi prinsip perlembagaan, demokrasi berparlimen, Raja Berperlembagaan itu tetap dipertahankan dan kita junjung prinsip yang sama,” kata Anwar.

Hasrat supaya Suruhanhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Petronas melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong dinyatakan Sultan Ibrahim dalam satu wawancara.

Baginda dilaporkan memberitahu akhbar Singapura, The Straits Times bahawa langkah itu bagi memastikan dua institusi penting negara bebas daripada campur tangan badan eksekutif.

Baginda turut berikrar akan memburu golongan rasuah apabila menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Kenyataan tersebut membangkitkan kebimbangan antaranya dari bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang berkara cadangan baginda tidak boleh diambil ringan.

Katanya, ia membangkitkan persoalan penting berkait dengan peranan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan yang sudah digariskan secara terperinci dalam perlembagaan. – 13 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen