Anwar perlukan anggota Kabinet berpengalaman, kata pakar


Noel Achariam

Rombakan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berlaku tepat pada masanya kerana selepas setahun terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki. – Gambar PMO, 13 Disember, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengukuhkan Kabinetnya dengan ahli politik lebih berpengalaman untuk menangani sebarang kelemahan dalam pentadbirannya, kata pemerhati politik.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berkata rombakan Kabinet amat tepat pada masanya kerana selepas setahun terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki.

Ini katanya, ditangani oleh Anwar dengan menukar portfolio dan memasukkan bekas menteri seperti Johari Abdul Ghani daripada Umno, Dr Dzulkifly Ahmad daripada Amanah, Gobind Singh Deo daripada DAP dan lain-lain.

“Kemasukan bekas menteri berpengalaman bertujuan meningkatkan kekuatan Kabinet.

“Ini tidak bermakna bekas menteri tidak bagus. Kemasukan bekas menteri itu diharapkan dapat membantu PMX (Anwar) mengukuhkan dasar dan pentadbiran,” katanya.

Mazlan berkata pentadbiran Anwar masih “Kabinet padat” walaupun terdapat penambahan menteri dan timbalan menteri baharu.

“Kabinet ini masih merupakan Kabinet kompak yang hanya mempunyai 60 anggota berbanding 70 dalam pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri dan 74 pada era Muhyiddin Yassin.”

Kabinet yang dirombak mempunyai 31 menteri dengan 29 timbalan. Kabinet lama Anwar mempunyai 28 menteri dibantu oleh 27 timbalan menteri.

Semalam, Johari Abdul Ghani dilantik sebagai menteri perladangan dan komoditi manakala Dzulkefly kembali sebagai menteri kesihatan.

Johari adalah bekas menteri kewangan II dan Dzulkefly adalah menteri kesihatan dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Amir Hamzah Azizan diberi jawatan menteri kewangan II manakala Gobind akan mengetuai Kementerian Digital selepas Kementerian Komunikasi dan Digital dipecahkan.

Fahmi Fadzil kini menjadi menteri komunikasi.

Mazlan berkata pengasingan Kementerian Komunikasi dan Digital adalah perlu bagi menyedari yang pendigitalan adalah sangat penting.

“Semua orang bercakap tentang digital dan kecerdasan buatan, jadi para menteri perlu memberi tumpuan kepada disiplin yang sangat penting ini.”

Sementara itu, pensyarah sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar percaya Kabinet baharu akan menangani beberapa kritikan sebelum ini.

“Adalah meyakinkan apabila PMX membawa balik ahli Parlimen berpengalaman sebagai menteri atau timbalan menteri; seperti Johari Ghani, Dzulkefly, Noraini Ahmad dan Gobind.”

Noraini dinamakan sebagai timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat yang baharu, manakala bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran dinamakan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Tunku Mohar juga berkata pelantikan Amir sebagai menteri kewangan kedua adalah tepat pada masanya kerana seseorang yang mempunyai kepakaran dan pengalaman harus ditugaskan membantu negara menguruskan kewangan dan memulihkan ekonomi.

“Hanya seorang daripada menteri sebelum ini (V Sivakumar) digugurkan, tetapi ia tidak mengejutkan memandangkan kontroversi dalam Kementerian Sumber Manusia.

“Kabinet ini kelihatan lebih baik daripada yang digantikan.”

Bagi menteri tambahan, Tunku Mohar merujuk kepada apa yang dikatakan oleh Anwar: “Ia adalah satu keperluan”.

Mengenai Kementerian Komunikasi dan Digital yang dipecahkan, beliau berkata ia adalah perlu kerana maklumat sentiasa melibatkan penyampaian kepada orang ramai.

“Walaupun aspek digital mempunyai banyak kaitan dengan peraturan perindustrian, dengan kemunculan teknologi ICT dan AI, Kementerian Digital memerlukan organisasi tersendiri,” tambah Tunku Mohar. – 13 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen