Selepas 20 tahun, Dr Mahathir sokong saya, kata Azmin


The Malaysian Insight

DUA puluh tahun yang lalu, Mohamed Azmin Ali, bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) pertamanya, menentang Dr Mahathir Mohamad, tetapi sekarang, bekas perdana menteri itu menyokong menteri besar Selangor dalam Pakatan Harapan (PH).

“Dua puluh tahun kemudian, Tun (Dr Mahathir) datang menyokong saya dan PH,” katanya kepada kira-kira 5,000 orang dalam ceramah di Lembah Klang malam ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin dan Mohamad Sabu atas kehadiran mereka.

Azmin memenangi kerusi DUN Hulu Kelang pada PRU 1999, sementara jawatan Dr Mahathir sebagai perdana menteri diteruskan berikutan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya.

Timbalan presiden PKR itu menyindir perdana menteri sementara Najib Razak, mengatakan hadirin di ceramah malam ini tidak dibawa dengan bas.

“Tolong beritahu Najib kita datang ke sini dengan rela hati.

“Kami tidak memaksa (sesiapa untuk datang). Kita semua ada di sini untuk mengalahkan Umno dan BN.”

Beliau berkata kerajaan PH akan menjaga kebajikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.

“Kami juga akan memastikan hak Melayu tidak terancam.”

Antara yang hadir di ceramah itu ialah bekas menteri Rafidah Aziz dan Daim Zainuddin, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail. – 7 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen