PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad mendedahkan pernah mengingatkan Najib Razak yang duit bukanlah segala-galanya dan ia tidak dapat “membeli syurga”, namun tidak diendahkan
Mendakwa Najib sering membeli undi, bekas perdana menteri itu berkata kali ini rakyat tidak akan terpengaruh atau “termakan” duit yang ditabur presiden Umno itu.
“Dia (Najib) akan tahu sama ada duit dia berguna atau tidak ada nilai. Inilah Najib yang memerintah negara ini dan disokong oleh penyangak lain.
“Duit tak boleh beli semuanya. Duit tak boleh beli syurga di akhirat. Jasa baik, budi baik dan kerja untuk rakyat. Keadilan itu yang menjamin kehidupan kita diakhir,” kata Dr Mahathir dalam ceramah mega PH di Gombak malam ini.
Menurut Dr Mahathir, keikhlasan berbakti kepada rakyat sudah cukup untuk Najib memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
“Najib, you tak payah nak guna duit banyak. Turun kampung, salam dengan orang cukup untuk menang PRU14.
“Tapi dia jawab ‘cash is king’. Semua orang boleh dibeli. Nampak macam kita ini murah sangat,” kata Dr Mahathir di depan ribuan hadirin di padang AU2 Taman Keramat.
Beliau turut mengatakan keyakinan PH akan menang besar pada 9 Mei ini.
“Kita bukan sahaja nak menang tapi hendak menang besar,” katanya lagi.
Ceramah yang merupakan terakhir di Selangor ini turut dihadiri pimpinan tertinggi PH seperti Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin.
Dua veteran Umno , Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz turut memberikan ceramah sebelumnya. – 6 Mei, 2018.
Komen